Bekas CEO TH direman 7 hari berhubung laporan RCI
PUTRAJAYA – Seorang bekas pengurusan kanan tertinggi Tabung Haji (TH) direman selama tujuh hari berhubung penemuan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai agensi berkenaan.
Perintah reman sehingga 27 Ogos itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Lelaki berusia 60-an itu, yang memakai pakaian lokap berwarna jingga dan bergari, tiba di mahkamah pukul 9.38 pagi dengan diiringi pegawai SPRM.
Menurut sumber, suspek berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira pukul 3.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Minggu lalu, seramai tujuh individu telah ditahan termasuk seorang wanita yang terdiri daripada seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), pengarah syarikat, bekas pengarah syarikat dan empat bekas pengurusan kanan Lembaga Tabung Haji (TH) bersabit isu RCI Tabung Haji.
Tahanan reman berkenaan susulan daripada siasatan pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyemak dan meneliti hasil Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji yang telah didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai 2026.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





