Polis tahan wanita disyaki beri tiga anak minum cecair dipercayai Methadone
Anak sulung meninggal dunia, dua lagi adiknya dirawat di ICU
KAJANG – Polis menahan seorang wanita kerana disyaki memberi minum tiga anaknya cecair berbahaya jenis Methadone sehingga mengakibatkan seorang daripada maut, di sini.
Penahanan itu disahkan sendiri oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar.
“Ya, saya sahkan kejadian seorang kanak-kanak maut manakala dua lagi sedang menerima rawatan di hospital,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Laporan media sebelum ini menyebut, seorang kanak-kanak lelaki maut manakala dua lagi adiknya sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) selepas dipercayai diberi minum cecair berbahaya jenis Methadone di sebuah kediaman di Sungai Ramal Baru, di sini.
Menurut sumber, pihak polis menerima makluman berhubung kejadian itu kira-kira pada 9.01 pagi daripada pegawai perubatan Hospital Tengku Permaisuri Norashikin (HTPN).
Sumber tersebut dilaporkan sebagai berkata, pihak hospital memaklumkan menerima tiga pesakit kanak-kanak lelaki pada pukul 7.50 pagi.
“Malangnya, anak sulung berusia 11 tahun itu disahkan meninggal dunia, manakala adik bongsu berusia lima tahun kini ditempatkan di ICU dan seorang lagi di Zon Merah Unit Kecemasan.
“Siasatan awal mendapati punca kejadian tragis itu dipercayai akibat tindakan ibu mangsa yang berusia 35 tahun memberikan ubat jenis Methadone kepada ketiga-tiga anaknya,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





