Kejohanan sorak himpun 1,400 murid dari enam negeri
KUALA LUMPUR – Kira-kira 1,400 murid daripada 68 sekolah dari enam negeri menyertai CJ National Cheerleading Competition 2026 lalu menjadikannya antara kejohanan sorak akar umbi terbesar yang menghimpunkan murid sekolah rendah di Malaysia.
Dianjurkan oleh CJ Sports Academy, acara yang berlangsung di Arena Sukan Kuala Lumpur, Sabtu lepas menyaksikan penyertaan 83 pasukan dari Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang.
Kejohanan berkenaan turut menarik lebih 4,000 pengunjung yang terdiri daripada ibu bapa, ahli keluarga, guru dan penyokong, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai acara sukan akar umbi berorientasikan keluarga.
Pengasas CJ Sports Academy, Jeffrey Loh Kheen Ho berkata, kejohanan yang masuk kali ketiga dianjurkan itu diwujudkan bagi memberi peluang kepada kanak-kanak mengembangkan potensi diri di luar bilik darjah menerusi sukan.
“Cheerleading bukan sekadar satu sukan, malah ia membentuk disiplin, kepimpinan, semangat berpasukan, daya tahan dan keyakinan diri yang akan menjadi bekalan berharga dalam kehidupan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, perkembangan kejohanan itu dari tahun ke tahun tidak mungkin dicapai tanpa sokongan sekolah, guru, jurulatih, ibu bapa serta rakan strategik dan penaja korporat.
Sementara itu, Pengarah Urusan Bata Malaysia dan Singapura, Rabi Hasnabi berkata, kejohanan tersebut bukan sekadar meraikan persembahan peserta, tetapi turut menghargai nilai keyakinan diri, disiplin, semangat berpasukan dan ketabahan yang dibina sepanjang latihan.
“Kejohanan ini menjadi platform untuk generasi muda mencabar diri, berkembang bersama dan membuktikan kemampuan mereka,” katanya dalam kenyataan sama.
CJ National Cheerleading Competition 2026 mendapat sokongan Kementerian Pendidikan (KPM) sebagai aktiviti yang diiktiraf di bawah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), selain pengiktirafan rasmi daripada Cheerleading Association and Register of Malaysia (CHARM).
Dianjurkan oleh CJ Sports Academy dan dibawakan oleh Bata sebagai rakan penganjur, kejohanan itu turut disokong McDonald’s Malaysia, IN2IT Cosmetics, Prudential dan J Group.
Kerjasama berkenaan mencerminkan komitmen sektor pendidikan, sukan dan korporat dalam memperkasa pembangunan generasi muda menerusi aktiviti sukan dan kokurikulum.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


