Pidato Celik MADANI perkasa kesedaran antirasuah generasi muda
BALOK – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang terus memperkukuh pendidikan pencegahan rasuah dalam kalangan generasi muda menerusi Program Wira Antirasuah (WAR) melalui Pertandingan Pidato Celik MADANI Peringkat Negeri Pahang 2026.
Pertandingan yang disertai 15 peserta itu merupakan hasil kerjasama strategik antara SPRM Pahang, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Pahang dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang dalam memperluas pendidikan integriti dan pencegahan rasuah menerusi pendekatan dakwah, pendidikan serta pengucapan awam.

Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud berkata, usaha membanteras rasuah tidak boleh bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya perlu dimulakan melalui pendidikan dan pembentukan nilai integriti sejak usia muda.
Menurutnya, golongan muda memainkan peranan penting dalam mencorakkan kepimpinan dan masa depan negara, manakala pertandingan berkenaan menyediakan platform untuk mereka mengetengahkan idea, pandangan serta aspirasi berkaitan kepentingan integriti.
“Kerjasama strategik ini akan terus diperkasakan bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dari sudut ilmu dan kepimpinan, tetapi turut teguh dengan nilai amanah, integriti serta akauntabiliti, selaras dengan aspirasi membina Malaysia MADANI yang bebas rasuah,” katanya ketika merasmikan pertandingan di De Rhu Beach Resort, Balok, Kuantan, di sini semalam.
Hadir sama, Pengarah YADIM Negeri Pahang, Ustaz Aizuddin Hakim Mohd Yusof.
Pertandingan itu membabitkan tiga kategori, dengan Suci Safya Elbushra Syaifuldin dari Sekolah Kebangsaan Felda Purun muncul juara Kategori Sekolah Kebangsaan (Tahun 4 hingga 6).
Kategori Sekolah Menengah (Tingkatan 1 hingga 3) pula dimenangi Mukhriz Muzakkir Mohd Nazre dari Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar, manakala Nur Aisyah Amani Basri dari Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Jengka 4 muncul juara Kategori Sekolah Menengah (Tingkatan 4 hingga 6).
Proses penjurian dikendalikan panel diketuai Pegawai Khas Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Teo Wei Sing, selaku Ketua Juri.
Beliau dibantu Ketua Penolong Pengarah Bahasa JPN Pahang, Mat Ganti Mansor serta pegawai SPRM Pahang, Nor Hidayah Mohd Nor.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








