Dasar wajibkan institusi pendidikan MARA utamakan bahan mentah Bumiputera buka peluang usahawan tembus pasaran RM300 juta
KUALA LUMPUR – Usahawan Bumiputera berpeluang mengembangkan kapasiti dan memperluas pasaran menerusi ekosistem pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang mempunyai nilai kira-kira RM300 juta setahun bagi keperluan makanan di institusi pendidikan kendaliannya.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dasar mewajibkan pengusaha dewan makan di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Kolej MARA mengutamakan pembelian bahan mentah daripada usahawan Bumiputera bertujuan memberi ruang kepada golongan itu meningkatkan kapasiti perniagaan.
Katanya, nilai berkenaan merangkumi kos makanan dan bekalan bahan mentah yang diperlukan setiap tahun, sekali gus menjadi peluang kepada usahawan tempatan untuk menembusi pasaran yang lebih besar.
“Sebenarnya dasar ini kita melihat adalah salah satu cara untuk kita memberi ruang kepada usahawan-usahawan Bumiputera untuk kita meningkatkan kapasiti mereka dengan memberikan peluang bagi mereka memanfaatkan ekosistem pendidikan MARA yang menawarkan kira-kira RM300 juta nilai setiap tahun dalam kos makan sahaja, supply barang-barang makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Pra Pelepasan Tajaan MARA ke Luar Negara Perdana 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, pelaksanaan dasar itu bagaimanapun tidak menafikan hak pengusaha dewan makan untuk membuat pilihan pembekal masing-masing, sebaliknya MARA hanya menyenaraikan usahawan Bumiputera yang berpotensi untuk dibangunkan.
“Semua ini adalah melalui pengusaha-pengusaha dewan-dewan selera yang memang mereka mempunyai hak mereka sendiri untuk memilih siapa.
“Cuma kita menyenaraikan usahawan-usahawan Bumiputera yang mana kita melihat daripada pelbagai dimensi, contohnya dimensi untuk meningkatkan kapasiti dan juga mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.
Menurut beliau, Bahagian Pembangunan Usahawan MARA akan bekerjasama dengan syarikat terbabit menerusi khidmat nasihat bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan, manakala bahagian pembiayaan pula boleh menyediakan kemudahan kewangan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran.
Katanya, antara bentuk pengembangan yang boleh dilakukan termasuk membuka kilang baharu bagi memenuhi permintaan institusi pendidikan MARA.
“Contohnya kalau kita ada pengusaha kicap, mereka selama ini hanya mengusahakan kicap untuk meningkat pasaran runcit sahaja. Tetapi bila nak pergi pasaran yang saya rasa pasaran terjamin macam MARA ini memerlukan mereka meningkatkan kapasiti pengeluaran, ini memerlukan mereka membuka kilang-kilang baru dan sebagainya,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata, sokongan pembiayaan itu penting bagi membolehkan usahawan berkenaan memenuhi permintaan yang lebih besar tanpa bergantung sepenuhnya kepada pasaran sedia ada.
Bagaimanapun, beliau berkata, peluang menerusi dasar berkenaan bukan untuk diberikan secara berterusan, sebaliknya usahawan terbabit diberi tempoh tiga tahun untuk memperkukuh kapasiti dan mengembangkan perniagaan sebelum bergerak secara mandiri.
“Jadi bahagian pembiayaan akan membantu dalam konteks ini. Tetapi kita memberi ruang kepada mereka ini bukan selamanya. Contohnya kita hanya bagi untuk tiga tahun sahaja supaya mereka boleh meningkatkan potensi dan mengembangkan perniagaan, akhirnya mereka boleh bergerak secara mandiri.
“Jadi ini salah satu cara untuk kita memastikan lebih ramai lagi usahawan-usahawan Bumiputera yang boleh kita bantu melalui dasar baru yang kita perkenalkan ini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








