BERITA SEMASA

Tiga sekeluarga maut dilanggar lori Imigresen di simpang Maju Junction

KUALA LUMPUR – Tindakan sebuah lori Jabatan Imigresen yang dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat merah bertukar tragedi apabila kenderaan itu merempuh sebuah Proton Saga sebelum terbabas dan melanggar empat pejalan kaki, mengorbankan tiga sekeluarga di Jalan Sultan Ismail, awal pagi tadi.

Kemalangan kira-kira pukul 1 pagi di persimpangan lampu isyarat bersebelahan bangunan Maju Junction itu meragut nyawa seorang lelaki berusia 53 tahun serta dua anak perempuannya, masing-masing 25 dan 12 tahun.

Isteri mangsa, 55, turut mengalami kecederaan di kepala, tangan kanan dan kedua-dua kaki. Wanita itu kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati lori Isuzu milik Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun.

Menurutnya, lori terbabit ketika itu dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur ke Chow Kit untuk mengambil tahanan susulan operasi terhadap pendatang tanpa dokumen.

“Lori itu dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat bagi laluannya berwarna merah. Pada masa sama, lampu beacon dan siren lori berkenaan diaktifkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kemalangan melibatkan sebuah lori Jabatan Imigresen dengan beberapa buah kenderaan di persimpangan dekat Maju Junction, Kuala Lumpur, awal pagi tadi. Foto: pieeomar

Bagaimanapun, pada ketika sama sebuah Proton Saga dipandu lelaki berusia 50 tahun sedang bergerak melalui persimpangan selepas menerima lampu hijau.

Pemandu Saga dipercayai tidak sempat mengelak lalu berlaku perlanggaran dengan lori terbabit.

Akibat hentaman itu, lori Imigresen hilang kawalan sebelum terbabas ke arah sekumpulan empat pejalan kaki yang merupakan satu keluarga.

Kenderaan berkenaan turut merempuh sebuah Inokom Matrix yang dipandu lelaki berusia 38 tahun dan ketika itu sedang berhenti di persimpangan.

Kesemua tiga pemandu tidak mengalami kecederaan dalam kejadian berkenaan.

Polis kemudian menahan pemandu lori Imigresen dan pemandu Proton Saga bagi membantu siasatan, manakala pemeriksaan alkohol serta saringan awal air kencing terhadap kedua-duanya menunjukkan keputusan negatif.

Mohd Zamzuri berkata, polis kini meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV), selain menjalankan pemeriksaan terhadap semua kenderaan yang terbabit dan mendapatkan keterangan saksi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau berbahaya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button