Trump gagal sekali lagi cabar keputusan kes serangan seksual, fitnah
WASHINGTON – Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) sekali lagi menolak permohonan Presiden Donald Trump untuk mencabar keputusan juri yang mendapati beliau bertanggungjawab atas serangan seksual dan memfitnah penulis, E Jean Carroll.
Mahkamah tertinggi AS tidak memberikan sebarang alasan berhubung keputusannya untuk tidak mendengar rayuan Trump itu.
Keputusan terbaharu tersebut dibuat selepas Mahkamah Agung pada akhir Jun lalu turut menolak rayuan Trump terhadap keputusan juri yang diputuskan pada Mei 2023.
Carroll, 82, bekas wartawan dan kolumnis, sebelum ini mendakwa Trump menyerangnya di bilik persalinan sebuah gedung serbaneka di New York pada 1996.
Dalam kes sivil berkenaan, Trump pada bulan lalu membayar AS$5.6 juta kepada Carroll selepas juri memutuskan beliau bertanggungjawab terhadap serangan seksual dan fitnah terhadap wanita itu.
Dakwaan Carroll mula didedahkan menerusi bukunya pada 2019, namun Trump menafikannya dengan menyifatkan wanita berkenaan sebagai ‘orang gila’ selain mendakwa tuduhan itu direka.
Dalam perkembangan berkaitan, Trump turut berdepan satu lagi keputusan mahkamah dalam kes fitnah berasingan di New York apabila beliau diperintahkan membayar AS$83.3 juta kepada Carroll.
Trump sebelum ini mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan kepada Mahkamah Agung AS.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








