JaPen, J-KOM digesa perkemas penerangan pencapaian kerajaan kepada rakyat
PUTRAJAYA – Datuk Seri Fahmi Fadzil menggesa Jabatan Penerangan (JaPen) dan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) memperkemas kaedah penerangan kepada rakyat supaya pencapaian kerajaan serta isu semasa dapat difahami dengan lebih jelas.
Menteri Komunikasi itu berkata, angka dan pencapaian besar kerajaan termasuk pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mencatatkan 6.0 peratus bagi suku kedua 2026 merupakan pencapaian membanggakan, khususnya ketika dunia berdepan pelbagai isu geopolitik yang tidak menentu.
“Walau bagaimanapun, seperti Perdana Menteri maklumkan, angka-angka besar jika tidak diterjemah dan dinikmati oleh rakyat, ia tiada makna.
“Apa yang diharapkan daripada Kementerian Komunikasi, JaPen dan J-KOM terutamanya untuk bantu jelaskan bagaimana angka besar ini dinikmati oleh rakyat. Bagaimana berita baik ini dapat dinikmati oleh rakyat?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bagi bulan Ogos 2026, di sini hari ini.
Baca juga : MCMC kesan 10,000 akaun palsu bawa isu 3R, hampir 1,000 dikesan setiap hari – Fahmi
Fahmi berkata, kementerian juga perlu memainkan peranan tambahan dalam mengenal pasti isu yang menggusarkan rakyat kerana terdapat perkara lebih dekat dengan kehidupan mereka meskipun ekonomi negara menunjukkan perkembangan positif.
“Kita juga perlu peranan tambahan dan kita dapat kesan isu yang menggusarkan rakyat kerana pada ketika kita sedang menguar-uarkan kepada rakyat mengenai ekonomi negara yang semakin meningkat, ada isu yang lebih dekat dengan mereka sama ada masalah setempat, isu jalan berlubang, jambatan rosak, sekolah daif atau isu yang bersifat emosional.
“Jadi tugas kita perlu tolong kementerian lain untuk fahamkan rakyat. Mungkin bagi mereka tidak sedar, rakyat kurang faham,” katanya.
Fahmi berkata, pencapaian seperti penyediaan pekerjaan dan kawalan harga barangan juga perlu diterjemahkan dengan lebih berkesan supaya rakyat dapat melihatnya sebagai satu kejayaan kerajaan.
“Perkara sangat bermakna untuk kita, pekerjaan cukup, dapat harga barang terkawal tetapi tidak ditafsir sebagai satu kejayaan kerajaan, maka itu adalah kelemahan kita, kelemahan saya,” katanya.
Beliau pada masa sama mengakui cabaran komunikasi semakin kompleks berikutan kewujudan pelbagai pihak dalam talian termasuk bot dan akaun palsu yang boleh mempengaruhi pemahaman rakyat terhadap sesuatu isu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








