BERITA SEMASA

Hibah Tabung Haji ketika tempoh defisit sah jadi hak pendeposit

KUALA LUMPUR – Wang hibah yang diterima pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) ketika institusi itu berdepan defisit kewangan pada tahun-tahun tertentu kekal sah menjadi hak mereka dan tidak dikategorikan sebagai harta haram atau syubhah.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, perkara itu dijelaskan berdasarkan penelitian Fiqh Muamalat terhadap penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Menurut kenyataan itu, pendedahan laporan RCI mengenai kelemahan tadbir urus dan pengurusan kewangan TH telah menimbulkan persoalan dalam kalangan jutaan pendeposit berhubung status hibah yang diterima ketika terdapat dakwaan pembayaran hibah tidak mematuhi ketetapan Akta Tabung Haji 1995.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, pada tempoh berkenaan kontrak antara pendeposit dengan TH adalah berasaskan Wadi’ah Yad Dhamanah (Simpanan Berjaminan).

“Dalam kerangka fiqh muamalat, TH dianggap meminjam wang daripada pendeposit untuk digunakan bagi tujuan pelaburan dan lain-lain.

“Oleh itu, TH tidak boleh menjanjikan sebarang keuntungan, sebaliknya pulangan yang diberikan kepada pendeposit berstatus hibah yang bersifat sukarela,” menurut kenyataan itu.

Jelasnya, apabila hibah yang telah diisytiharkan dimasukkan ke dalam akaun pendeposit, ia dianggap telah berlaku qabd atau penerimaan yang sempurna, sekali gus menjadikan wang tersebut sah sebagai hak milik pendeposit.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, kegagalan mematuhi piawaian perakaunan atau pelanggaran undang-undang oleh pihak pengurusan tidak membatalkan keabsahan akad hibah tersebut dari sudut syarak.

“Wang hibah yang telah diterima oleh para pendeposit pada tahun-tahun defisit tersebut adalah sah sebagai milik mereka.

“Wang tersebut tidak dikategorikan sebagai harta haram atau syubhah yang wajib dipulangkan kerana penerimaannya berasaskan akad hibah yang telah sempurna syarat penyerahannya,” katanya.

Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, jemaah yang menunaikan ibadah haji menggunakan wang hibah yang diterima dalam tempoh berkenaan juga tidak perlu bimbang kerana ibadah haji mereka adalah sah dan tidak terjejas.

Sementara itu, RCI sebelum ini mendedahkan isu berkaitan pengurusan kewangan TH termasuk penggunaan kaedah Nilai Aset Boleh Direalisasikan (RAV) bagi tujuan pembayaran hibah.

Menurut kenyataan tersebut, penggunaan kaedah berkenaan membolehkan TH melaporkan keuntungan RM3.4 bilion bagi tahun kewangan 2017, sedangkan berdasarkan penggunaan piawaian MFRS secara telus, institusi itu dikatakan mengalami kerugian bersih RM1.4 bilion pada tahun sama.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, segala isu berkaitan salah tadbir urus, ketidakpatuhan akta dan pelaporan perakaunan kreatif adalah tanggungjawab pihak pengurusan pada ketika itu, bukannya pendeposit atau orang awam yang tidak mengetahui keadaan kewangan dalaman institusi berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, langkah TH beralih kepada kontrak Wakalah bermula Disember 2019 disifatkan sebagai tindakan tepat bagi memperkemas mekanisme pengagihan pulangan.

Melalui kontrak Wakalah, TH bertindak sebagai ejen pelaburan dan pulangan diagihkan berdasarkan keuntungan bersih sebenar hasil pelaburan, bukannya atas dasar hibah sukarela.

“Sekiranya berlaku keadaan tiada keuntungan atau defisit pada masa hadapan, TH secara automatik tidak boleh mengagihkan sebarang pulangan.

“Hal ini menutup ruang amalan tidak cermat, meningkatkan kehematan dan memastikan ketelusan sepenuhnya,” menurut kenyataan itu.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut menegaskan bahawa isu berkenaan perlu menjadi titik tolak kepada usaha memperkukuh tadbir urus dan integriti dalam pengurusan institusi Islam di Malaysia, khususnya dalam aspek penjagaan amanah dan ketelusan kewangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button