Mekar Dinamik YKN beri peluang kedua kepada bekas penghuni penjara bina sumber pendapatan
KOTA KINABALU – Seramai 22 prospek bekas penghuni Penjara Wanita Kota Kinabalu menerima Kit Mekar Dinamik @ Wanita Bangkit Bersasar (WBB) sebagai persediaan membina sumber pendapatan dan menjalani kehidupan lebih berdikari selepas kembali ke komuniti.
Penyerahan kit berkenaan disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Datuk Seri Nancy Shukri, dalam rangka lawatan kerja bagi meninjau pelaksanaan Program Mekar Dinamik @ WBB di Sabah.
Program anjuran YKN dengan kerjasama Jabatan Penjara itu merupakan inisiatif pemerkasaan wanita yang menyediakan peluang kedua kepada prospek wanita untuk membina semula kehidupan selepas dibebaskan.
Menurut Nancy, pelaksanaannya menggunakan pendekatan berstruktur menerusi tiga fasa utama, iaitu Fasa Transisi yang memberi tumpuan kepada sokongan emosi dan pembangunan kendiri, Fasa Transformasi menerusi pembangunan kemahiran serta Fasa Integrasi yang memberi fokus kepada penjanaan pendapatan.
“Setiap wanita berhak diberikan peluang untuk membina semula kehidupan. Melalui Mekar Dinamik, kita bukan sekadar memberikan bantuan, tetapi menyediakan kemahiran, sokongan dan peralatan yang boleh digunakan untuk menjana pendapatan apabila mereka kembali ke dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sokongan berterusan penting bagi memastikan peserta bukan sahaja melalui proses pemulihan, malah mampu membina keyakinan, menguasai kemahiran dan akhirnya berdikari dengan menjana pendapatan sendiri.
Menerusi Fasa Integrasi, peserta terpilih menerima Kit Mekar Dinamik berupa set peralatan perniagaan yang disesuaikan dengan kemahiran masing-masing bagi membolehkan mereka memanfaatkan kemahiran yang dipelajari untuk memulakan aktiviti menjana pendapatan.
Antara kit yang diserahkan kepada kumpulan terbaharu di Sabah ialah Set Bakeri, Set Jahitan, Set Sejuk Beku dan Set Refleksologi.
Nancy turut meluangkan masa bersama peserta dalam aktiviti membuat kuih-muih selain meninjau peralatan yang diterima.
Program Mekar Dinamik @ WBB mula dilaksanakan pada 2024 susulan kerjasama antara YKN dan Jabatan Penjara Malaysia bagi membantu prospek wanita menjalani kehidupan lebih baik selepas dibebaskan.
Di Sabah, pelaksanaan program itu turut diperkukuh menerusi Anjung WBB YKN @ Rumah Perantaraan Kota Kinabalu yang menyediakan ruang bagi pelbagai aktiviti pemerkasaan termasuk pembuatan pastri dan kuih-muih, kerepek serta biskut, penghasilan kraftangan manik dan mutiara, jahitan dan ubah suai pakaian, bantuan Kit Dinamik serta kemudahan rumah transit sementara.
Bagi tempoh 2024 hingga 2026, seramai 3,584 penerima manfaat telah direkodkan menerusi Program Mekar Dinamik @ WBB dan aktiviti berkaitan yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia.
Dalam lawatan sama, Nancy turut meninjau perkhidmatan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) Bergerak yang menyediakan ruang kepada peserta mendapatkan sokongan psikososial serta menyaksikan demonstrasi pengurusan kes menggunakan aplikasi MyPSSS.
Lawatan diteruskan ke Rilex Kafe Mekar Dinamik WBB serta tapak Pusat Latihan Kemahiran Mekar Dinamik Zon Sabah di Kompleks Penjara Negeri Sabah sebagai sebahagian usaha memperkukuh pelaksanaan latihan kemahiran dan pemerkasaan peserta.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPWKM, Datuk Ruziah Haji Shafei; Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Hanani Sapit serta Pengarah Bahagian Korektif Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Nora Musa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








