POLITIK

DAP sokong penuh cadangan PM mansuhkan AUKU – Loke

PUTRAJAYA – Parti Tindakan Demokratik (DAP) menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memansuhakan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata,
pemansuhan AUKU telah diperjuangkan parti itu sejak sekian lama bagi memastikan kebebasan mahasiswa lebih terjamin.

Beliau mengakui pernah menjadi mangsa AUKU ketika menjadi mahasiswa di sebuah universiti tempatan malah menyifatkan akta berkenaan mewujudkan kebimbangan bersuara dalam kalangan mahasiswa.

“DAP akan terus memberikan sokongan terhadap semua dasar positif berkenaan, namun menegaskan pelaksanaannya perlu disusuli dengan keputusan tegas oleh Jemaah Menteri bagi merealisasikan pemansuhan AUKU,” ujarnya.

“Kita mencadangkan agar bukan setakat AUKU sahaja, malah beberapa semangat reformasi lain khususnya memperluas peluang pendidikan turut dicadangkan,” tegasnya ketika berucap pada Kongres Kebangsaan DAP 2026 di sini, hari ini.

Dalam Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) semalam, Anwar mengumumkan kerajaannya akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30).

Anwar yang juga Presiden PKR berkata, biarpun beberapa pindaan sudah dibuat sebelum ini, namun ada perkara yang masih tidak memuaskan mahasiswa.

AUKU sudah tujuh kali dipinda sejak ia diperkenalkan pada 1971, dengan pindaan pada 2012 membenarkan mahasiswa menyertai kegiatan anjuran parti politik di luar kampus.

AUKU turut dipinda pada 1971, 1975, 1983, 1996 dan 2009.

Pindaan terbaharu pada 2024 lalu menyaksikan tindakan tatatertib ke atas pelajar di universiti awam tidak lagi tertakluk di bawah kuasa Naib Canselor, sebaliknya akan diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar iaitu menerusi pindaan Seksyen 16B AUKU.

Selain itu, pindaan menyaksikan penambahbaikan kepada Seksyen 15A AUKU yang membenarkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan badan pelajar untuk memungut wang dan menerima sumbangan dalam apa cara sekali pun tertakluk kepada peraturan dan undang-undang bertulis yang sedang berkuat kuasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button