LUAR NEGARA

Pesawat Ryanair dihentam bilah kipas tercabut, penumpang hampir tercampak keluar

LONDON – Seorang penumpang hampir tercampak keluar dari pesawat Ryanair selepas tingkap kabin di tempat duduknya pecah akibat terkena serpihan bilah kipas enjin ketika penerbangan dari Thessaloniki, Greece ke Memmingen, Jerman pada bulan lalu.

Menurut laporan awal Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (NTSB) yang didedahkan hari ini, pesawat Boeing 737-800 itu mengalami kerosakan pada enjin kanan beberapa minit selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Thessaloniki pada 10 Julai lalu.

“Serpihan bilah kipas enjin yang tercabut dipercayai menembusi badan pesawat dan memecahkan tingkap di barisan ke-11, menyebabkan kabin kehilangan tekanan.

“Penumpang yang duduk bersebelahan tingkap itu kemudian tertarik keluar akibat tekanan udara, sebelum berjaya ditarik masuk semula oleh penumpang lain,” menurut laporan itu.

NTSB memaklumkan pemeriksaan terhadap enjin mendapati terdapat serpihan dan bulu burung, selain rekod menunjukkan enjin berkenaan pernah terbabit dalam empat insiden dipercayai pelanggaran burung dalam tempoh 12 bulan sebelum kejadian.

Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan bagi menentukan sama ada pelanggaran burung menjadi punca bilah kipas berkenaan patah.

“Serpihan bilah kipas turut menyebabkan beberapa kerosakan pada badan pesawat, manakala topeng oksigen keluar selepas tekanan kabin menurun,” menurut kenyataan itu seperti dilaporkan media antarabangsa.

Juruterbang kemudian mengisytiharkan kecemasan dan berpatah balik ke Thessaloniki, sebelum pesawat mendarat dengan selamat kira-kira sejam selepas berlepas.

Pesawat berkenaan membawa 149 penumpang dan enam kru ketika kejadian.

Penumpang yang tercedera diberikan rawatan manakala penumpang lain kemudiannya meneruskan perjalanan ke Jerman menggunakan pesawat gantian.

NTSB turut menemui tanda keletihan logam pada bahagian pangkal bilah kipas yang patah, walaupun pemeriksaan ultrasonik terhadap bilah berkenaan pada Mei lalu tidak mengesan kerosakan. Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kegagalan enjin tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button