SPRM reman anggota penguat kuasa disyaki terima rasuah RM190,000
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak berjaya memperoleh perintah reman ke atas seorang anggota penguat kuasa kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM190,000 daripada sebuah syarikat pembungkusan minyak masak.
Difahamkan, rasuah tersebut merupakan balasan bagi membantu proses permohonan kuota subsidi minyak masak daripada sebuah kementerian serta tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas syarikat tersebut.
Perintah reman selama tiga hari sehingga 16 Ogos 2026 terhadap suspek dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar, Mohd Shazmeer Zamhari selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Ipoh, pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira pukul 5 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Taiping.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2022 hingga 2026.
“Suspek dipercayai telah menerima wang rasuah melalui 19 keping cek yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi miliknya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






