SMSAH-Jenan raih emas pertama, bukti kebangkitan JENAN Wind Orchestra
SERDANG – Kejayaan meraih pingat emas pada Festival Wind Orchestra Sekolah Berasrama Penuh (SBP) 2026 menjadi bukti peningkatan mendadak yang dicapai pasukan JENAN Wind Orchestra dari Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (SMSAH-Jenan) selepas beberapa tahun berusaha memperkukuhkan prestasi mereka.
Guru Orkestranya, Khairil Hashim menyifatkan pencapaian tersebut sebagai hasil usaha berterusan para pelajar, guru, alumni serta keluarga besar pasukan itu yang tidak pernah putus memberikan sokongan.

Menurut beliau, kejayaan kali ini amat bermakna kerana pasukan tersebut sebelum ini hanya berjaya meraih pingat gangsa dalam festival yang sama.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana kita berjaya mencatat peningkatan yang sangat tinggi. Daripada gangsa pada tahun lalu, kali ini kita berjaya memperoleh emas.

“Itulah yang amat diharapkan oleh semua pihak termasuk alumni dan seluruh keluarga JENAN Wind Orchestra. Sejujurnya saya sendiri sukar untuk menggambarkan perasaan ketika ini,” katanya kepada Malaysia Tribune selepas keputusan pertandingan diumumkan di Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
Sebelum itu, Khairil memaklumkan sasaran utama pasukan adalah untuk memperbaiki pencapaian gangsa yang diraih pada edisi lalu selepas berjaya mencatat keputusan memberangsangkan di peringkat antarabangsa termasuk muncul juara di Thailand dan meraih pingat perak di Singapura.

Beliau berkata, kejayaan tersebut membuktikan kesungguhan para pelajar yang sanggup berkorban masa dan tenaga bagi memastikan pasukan terus berada pada tahap terbaik walaupun berdepan kekangan peralatan muzik dan kemudahan latihan.
Mengulas lanjut, Khairil mengingatkan para pelajar supaya tidak terlalu selesa dengan kejayaan yang diraih, sebaliknya menjadikan pencapaian itu sebagai motivasi untuk terus meningkatkan mutu persembahan pada masa hadapan.

“Untuk semua anak-anak, jangan jadikan kejayaan ini sebagai satu kebanggaan yang membuatkan kita selesa. Sebaliknya, kita perlu mengekalkan prestasi ini atau menjadi lebih baik lagi pada masa akan datang.
“Kejayaan ini hanyalah satu penanda aras untuk melihat tahap kemampuan kita pada tahun ini. Tahun-tahun akan datang kita tidak tahu apa yang bakal berlaku kerana pasti ada pasukan lain yang akan berusaha untuk menandingi pencapaian kita,” katanya lagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu perjalanan pasukan termasuk tenaga pengajar, ibu bapa, alumni serta penyokong yang sentiasa berada di belakang JENAN Wind Orchestra sepanjang musim pertandingan.
Festival Wind Orchestra SBP 2026 yang berlangsung dari 9 hingga 13 Ogos di Dewan Besar dan Panggung Percubaan Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM menghimpunkan pasukan orkestra sekolah berasrama penuh dari seluruh negara bagi mempamerkan bakat dan kemampuan muzik masing-masing.
Kejayaan meraih pingat emas itu dilihat sebagai antara pencapaian terbesar JENAN Wind Orchestra setakat ini dan mengukuhkan kedudukan SMSAH-Jenan sebagai salah sebuah pasukan orkestra sekolah yang semakin menyerlah di peringkat kebangsaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








