
PKR tuntut penjelasan dakwaan ibadah haji dijadikan habuan pemilihan UMNO
SHAH ALAM – Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Parti Keadilan Rakyat (PKR) menuntut penjelasan daripada Presiden UMNO berhubung dakwaan bahawa ibadah haji pernah dijadikan habuan bagi mendapatkan sokongan dalam pemilihan parti itu.
Pengerusinya, Amidi Abdul Manan berkata, pendedahan yang dibuat Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohamad Suhaimi Abdullah mengenai taktik yang didakwa digunakan oleh lawannya dalam pemilihan UMNO Bahagian Jerai sebelum ini adalah sesuatu yang amat serius dan menjijikkan jika benar berlaku.
Menurut beliau, dakwaan bahawa sokongan atau undi dalam pemilihan UMNO ditukar dengan peluang menunaikan ibadah haji bukan sahaja mencemarkan integriti proses pemilihan parti, malah boleh menjejaskan kesucian ibadah tersebut.
“Jika perkara ini benar-benar terjadi, jelas menunjukkan ia satu perbuatan yang merosakkan kesucian ibadah haji sendiri.
“Ibadah haji bukan sekadar melibatkan wang, malah ia turut menzalimi rakyat Malaysia khususnya orang Melayu yang menunggu giliran selama puluhan tahun untuk menunaikan rukun Islam kelima itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Amidi turut mendakwa wang Tabung Haji bukan sahaja digunakan untuk menyelamatkan projek-projek bermasalah pihak tertentu, malah didakwa dijadikan bahan rasuah dalam pemilihan UMNO.
Beliau berkata, kepentingan orang Melayu tidak boleh dipertahankan hanya melalui sentimen atau dengan menyalahkan pihak lain, sebaliknya perlu berasaskan kejujuran, tekad serta tadbir urus yang berkesan.
“Kepentingan Melayu akan dapat dipelihara dengan tekad dan kejujuran bagi mengangkat martabat umat. Ia perlu diperkukuh dengan tatakelola yang benar-benar berkesan,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menggesa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tampil memberikan penjelasan berhubung isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Langkawi tersebut bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








