LUAR NEGARA

Colombia digegar gempa 7.4 magnitud, 111 maut, ribuan bangunan rosak

BOGOTA Sekurang-kurangnya 111 orang maut manakala 87 lagi cedera selepas gempa bumi berukuran 7.4 magnitud menggegarkan wilayah barat Colombia, semalam, menyebabkan lebih 1,600 bangunan rosak dan puluhan mangsa dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan.

Gempa kuat itu turut menyebabkan sekurang-kurangnya 61 bangunan runtuh sepenuhnya, dengan pasukan penyelamat dan orang awam bertungkus-lumus mencari mangsa di celah runtuhan bangunan di beberapa kawasan terjejas.

Bandar Cali antara lokasi yang paling teruk terjejas apabila pasukan penyelamat bersama penduduk mengalihkan kepingan konkrit dan serpihan bangunan secara bergilir-gilir bagi mencari mangsa yang masih terperangkap.

Selain Cali, gegaran kuat turut melanda beberapa bandar di barat Colombia termasuk Pereira, Quibdo dan Manizales, selain dirasai di negara jiran Ecuador dan Panama.

Di Manizales, sekurang-kurangnya dua kematian dilaporkan manakala lebih 32 bangunan mengalami kerosakan teruk. Kebocoran gas serta gangguan bekalan elektrik turut dilaporkan selepas gempa berkenaan.

“Pusat gempa dikenal pasti di San Jose del Palmar, sebuah komuniti berpenduduk kira-kira 4,800 orang di wilayah Choco, kira-kira 400 kilometer dari Bogota.

“Pasukan kecemasan kini meneruskan operasi mencari dan menyelamat, khususnya di kawasan terpencil yang berdepan kesukaran akses akibat kerosakan infrastruktur,” lapor agensi berita antarabangsa.

Peta menunjukkan pusat gegaran gempa 7.4 magnitud yang menggegarkan Colombia, semalam.

Presiden Colombia, Abelardo de la Espriella, mengisytiharkan darurat bagi mempercepatkan penyaluran peruntukan dan bantuan kepada kawasan yang terjejas.

Beliau memberi jaminan kerajaan tidak akan meninggalkan mangsa bencana itu dan akan mengerahkan segala usaha bagi membantu penduduk yang terkesan.

Dalam pada itu, perkhidmatan awam serta aktiviti persekolahan di beberapa kawasan terjejas turut digantung sementara sebagai langkah keselamatan susulan kerosakan struktur bangunan dan kebimbangan terhadap kemungkinan gegaran susulan.

Gempa berkenaan disifatkan antara yang paling kuat melanda Colombia dalam tempoh lebih dua dekad.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button