KPDN, KLFW 2026 jalin kerjasama strategik perkasa produk Malaysia ke pentas global
KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memanfaatkan platform Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 bagi memperkasa gerakan Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA) dalam usaha meningkatkan penggunaan dan pembelian produk tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan negara terhadap barangan import.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) komited menggerakkan agenda itu menerusi kerjasama strategik bersama KLFW 2026 yang merupakan sebahagian daripada pelaksanaan JOM MALAYSIA.
Katanya, JOM MALAYSIA ialah strategi transformasi Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dan Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia yang diperkenalkan sejak 1984.
“Objektif utama JOM MALAYSIA adalah untuk menggalakkan rakyat mengutamakan produk tempatan, mengurangkan kebergantungan import serta memperkukuh daya saing industri dan usahawan tempatan termasuk di pasaran antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut beliau, KLFW 2026 yang berlangsung di Esplanade KLCC dari 3 hingga 9 Ogos menghimpunkan lebih 50 pereka fesyen dan jenama tempatan yang menampilkan 800 rekaan kreatif sepanjang tujuh hari penganjuran.
Katanya, acara itu turut diperkaya dengan pelbagai pengisian termasuk pameran jenama, sesi padanan perniagaan, perkongsian industri dan aktiviti libat urus melibatkan pemain industri fesyen tempatan serta antarabangsa.
Beliau berkata, sebagai platform fesyen paling berprestij di negara ini, KLFW menyediakan ruang kepada pereka tempatan mengetengahkan kreativiti dan inovasi masing-masing di samping memperkukuh penjenamaan produk Malaysia.
Malah, menerusi kerjasama strategik yang melibatkan 28 segmen, KLFW 2026 buat julung kali memperkenalkan segmen Fashion Forward Batik Malaysia yang menampilkan 10 pereka fesyen tempatan dengan 30 rekaan batik kontemporari menggunakan tekstil batik asli dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Armizan berkata, potensi industri itu turut disokong oleh perkembangan positif sektor budaya dan kreatif negara apabila Laporan Akaun Satelit Budaya dan Kreatif 2024 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Disember 2025 merekodkan sumbangan sebanyak RM130.7 bilion atau 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
“Pencapaian ini menunjukkan bahawa kreativiti dan khazanah budaya bukan sahaja mempunyai nilai identiti, malah telah berkembang menjadi antara pemacu pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan pencapaian KLFW 2025 yang merekodkan nilai publisiti (media value) mencecah USD32 juta, kerjasama strategik berkenaan dijangka mampu memperluaskan capaian pasaran batik Malaysia di peringkat domestik dan global.
Katanya, usaha tersebut selaras dengan agenda kerajaan melalui penubuhan Jawatankuasa Kabinet Bagi Memperkasa Penggunaan dan Pembelian Produk Tempatan yang diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 15 Julai lalu.
Jelas beliau, jawatankuasa itu berfungsi memperkemas hala tuju serta memperkukuh penyelarasan antara kementerian dan agensi kerajaan dalam memperkasa promosi, meningkatkan nilai jualan domestik dan eksport produk tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import.
Menurutnya, penyertaan semua pemegang taruh merentasi pelbagai sektor amat penting bagi memastikan agenda memperkasa penggunaan dan pembelian produk tempatan dapat digerakkan dengan lebih berkesan melalui pendekatan kolaboratif.
“Pada masa yang sama, melalui JOM MALAYSIA, KPDN akan terus memperkukuh kerjasama bersama pemain industri, sektor swasta dan rakan strategik bagi memperkukuh ekosistem dalam memastikan produk Malaysia lebih mampan dan berdaya saing di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








