KPDN rangka Pelan Tindakan Foodbank Kebangsaan 2026-2030
BANGI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang merangka Pelan Tindakan Foodbank Kebangsaan 2026-2030 yang dijangka dilancarkan seawal awal tahun hadapan bagi memastikan program bantuan makanan dapat digerakkan dengan lebih tersusun, sistematik dan berkesan di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penyediaan pelan komprehensif itu berpaksikan dapatan Konvensyen Foodbank Malaysia yang sedang berlangsung, melibatkan penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pengendali foodbank, penyelidik serta rakan strategik yang terlibat secara langsung dalam ekosistem bantuan makanan.
Menurut beliau, selepas lebih enam tahun KPDN menyelia program Foodbank Malaysia sejak 2019, sudah tiba masanya kerajaan melaksanakan transformasi menyeluruh bagi memastikan inisiatif itu selari dengan keperluan semasa dan cabaran baharu.
“Kita melihat keperluan untuk melaksanakan transformasi berdasarkan amalan terbaik serta pengalaman pihak-pihak yang telah lama menggerakkan program foodbank masing-masing,” katanya pada sidang media selepas merasmikan konvensyen berkenaan di sini, hari ini.
Armizan berkata, inisiatif Foodbank Malaysia perlu berperanan sebagai pelengkap kepada ekosistem social safety net negara dan tidak lagi bergerak secara bersendirian mengikut program NGO masing-masing.
“Transformasi ini penting supaya pengurusan foodbank lebih bernilai, lebih tersusun serta memberi manfaat lebih menyeluruh kepada rakyat,” katanya lagi.
Beliau berkata, pelaksanaan foodbank pada masa depan akan memberi tumpuan kepada aspek kelestarian dan keselamatan makanan, selain diselarikan dengan agenda bantuan kebajikan yang berkait rapat dengan tekanan kos sara hidup.
“Pendekatan itu akan digerakkan berasaskan konsep perpaduan dan tanggungjawab bersama melalui pendekatan whole of nation.
Mengulas liputan NGO pada masa ini, Armizan berkata, banyak program bantuan makanan hanya tertumpu kepada lokaliti tertentu, menyebabkan terdapat kawasan dan kumpulan yang masih belum menerima bantuan secara konsisten.
“Melalui pelan tindakan baharu itu, kerajaan yakin mampu mengenal pasti dan membantu lebih ramai golongan sasar di seluruh negara,” katanya lagi.
Mengenai permohonan NGO berkaitan bantuan mesin, kemudahan operasi dan pertimbangan insentif cukai, Armizan berkata, kerajaan hanya dapat meneliti cadangan itu selepas pelan tindakan lengkap dibentangkan.
“Cadangan tersebut perlu disokong dokumen lengkap yang menunjukkan keberkesanan program dan bagaimana ia selari dengan agenda besar kerajaan seperti Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), sasaran mengurangkan pembaziran makanan sebanyak 50 peratus menjelang 2030 serta fokus kelestarian di bawah RMK13,” ujarnya lagi.
Armizan turut berkata, dapatan konvensyen akan diterjemahkan dalam sesi libat urus susulan sebelum Pelan Tindakan Foodbank Kebangsaan 2026-2030 dimuktamadkan.
Beliau yakin dokumen itu akan menjadi asas kukuh dalam memperkasakan ekosistem foodbank negara secara lebih berstruktur untuk tempoh lima tahun akan datang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















