
Harimau belang ditemukan mati, dipercayai dilanggar
IPOH – Seekor harimau belang ditemukan mati dipercayai dilanggar sebuah treler di Lebuh Raya Utara- Selatan berhampiran Hentian Sebelah Gua Tempurung, di sini malam tadi.
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Teh Kok Lim berkata, maklumat kejadian itu diterima pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak sekitar pukul 12.30 tengah malam.
“Karkas harimau berkenaan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai untuk tindakan lanjut.
“Kita percaya harimau belang berusia antara lapan hingga 10 tahun itu adalah haiwan yang dilaporkan sebelum ini menyerang ternakan dan menimbulkan kegusaran penduduk sekitar Kampar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Kok Lim berkata, kes-kes harimau berkeliaran di kawasan hutan atau kampung yang dilaporkan baru-baru ini adalah disebabkan kekurangan sumber makanan.
“Punca utama akibat wabak demam babi Afrika (ASF) yang menyebabkan populasi babi hutan turun mendadak.
“Harimau ini akan merayau hingga ke pinggir kampung mengesan lembu orang kampung yang dibiarkan bebas dalam ladang sawit atau pinggir hutan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








