Parkir lori dijadikan stor arak seludup, PPM rampas barang bernilai lebih RM316,000
KUALA LANGAT – Taktik sindiket menjadikan kawasan parkir lori di Telok Panglima Garang sebagai lokasi penyimpanan dan pengangkutan arak seludup terbongkar selepas diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang, semalam.
Dalam serbuan pada pukul 6.30 petang itu, seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penjaga lokasi ditahan bagi membantu siasatan.
Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Jaffri Bidin berkata, hasil pemeriksaan mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan minuman keras yang disimpan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut di lokasi menemukan lima buah lori yang diletakkan di kawasan parkir tersebut.
“Bagaimanapun, hanya dua daripada lori berkenaan didapati membawa pelbagai jenis minuman keras di ruang kargo belakang.
“Nilai keseluruhan rampasan melibatkan minuman keras disyaki tidak bercukai bersama dua buah lori dianggarkan berjumlah RM316,205,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kawasan parkir itu dipercayai dijadikan pusat operasi sindiket penyimpanan dan pengangkutan arak seludup sejak kira-kira setahun lalu.
Katanya, semua barang rampasan bersama suspek telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 serta Akta Kerajaan Tempatan 1976.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








