JPN Pulau Pinang siasat dakwaan gangguan seksual, buli siber libat calon SPM
GEORGE TOWN – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan gangguan seksual dan buli siber membabitkan seorang pelajar Tingkatan Lima yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026, selain memberi kerjasama penuh kepada polis yang sedang menyiasat kes berkenaan.
Dalam satu kenyataan hari ini, JPN Pulau Pinang memaklumkan, siasatan dalaman itu bertujuan meneliti setiap aspek berkaitan insiden berkenaan bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil.
“JPN Pulau Pinang mengambil perhatian terhadap insiden gangguan seksual dan buli siber yang melibatkan seorang murid di negeri ini seperti yang dilaporkan media.
“Tumpuan utama JPN Pulau Pinang pada ketika ini adalah untuk melindungi murid yang menjadi mangsa. Intervensi sokongan psikososial sedang dilaksanakan bagi membantu murid yang terjejas,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, JPN Pulau Pinang menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku seksual dan kes buli di institusi pendidikan.
Menurutnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah mengikut peruntukan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
Terdahulu, media melaporkan seorang wanita mendakwa anak perempuannya yang juga calon SPM 2026 menjadi mangsa gangguan seksual dan buli siber sejak April lalu.
Remaja berkenaan turut didakwa mengalami tekanan emosi selepas gambarnya disunting menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebelum disebarkan melalui poster di kawasan sekolah, tempat awam dan media sosial.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








