BERITA SEMASA

JPA buka permohonan Dermasiswa B40 2026 bagi lepasan SPM

PUTRAJAYA – Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) kini berpeluang memohon Program Dermasiswa B40 (DB40) Tahun 2026 bagi melanjutkan pengajian peringkat diploma di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan memaklumkan, permohonan program berkenaan dibuka mulai 3 Ogos, jam 2 petang hingga 5 petang pada 16 Ogos menerusi Portal Penajaan JPA.

Program DB40 merupakan inisiatif kerajaan untuk memperluaskan akses pendidikan tinggi kepada pelajar daripada keluarga B40 menerusi tajaan berbentuk dermasiswa.

Antara institusi yang terlibat dalam program berkenaan ialah Universiti Awam (UA), Politeknik, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MARA serta Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) terpilih.

JPA berkata, bidang pengajian yang ditawarkan merangkumi Kejuruteraan dan Teknologi, TVET, Sains Sosial dan Sastera, Sains serta Seni Bina.

Bagi melayakkan diri, pemohon mestilah warganegara Malaysia yang menduduki peperiksaan SPM 2025 buat kali pertama, berumur di bawah 19 tahun atau bawah 20 tahun bagi pelajar aliran peralihan.

Pemohon juga perlu mempunyai pendapatan per kapita keluarga dalam kategori B40 iaitu RM5,249 sebulan dan ke bawah.

Selain itu, pemohon mestilah bebas daripada penyakit kronik atau penyakit berjangkit yang boleh menjejaskan pengajian.

JPA turut menetapkan ibu bapa dan atau pemohon tidak boleh disenarai hitam atau sedang berdepan tindakan undang-undang oleh jabatan berkenaan.

Semakan status senarai hitam boleh dilakukan menerusi sistem eSILA sehingga 12 Ogos 2026.

JPA menggalakkan semua lepasan SPM 2025 yang memenuhi syarat kelayakan supaya mengemukakan permohonan dalam tempoh ditetapkan bagi merebut peluang melanjutkan pengajian dengan tajaan kerajaan.

Sebarang maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi talian 03-8000 8000 atau menerusi e-mel dermasiswa2026@jpa.gov.my pada waktu pejabat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button