BERITA SEMASA

Mohd Asna nafi PH akan sertai kerajaan Negeri Sembilan

SEREMBAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin menafikan dakwaan bahawa terdapat rundingan untuk membawa Pakatan Harapan (PH) menyertai pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan.

Bekas Timbalan Yang Dipertua (Speaker) Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan itu berkata, sehingga kini tiada sebarang perbincangan diadakan berkaitan perkara tersebut dan dakwaan yang tersebar hanyalah spekulasi.

“Saya ingin menegaskan, langsung tiada perbincangan dengan PH. Titik,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dakwaan mengenai kemungkinan PH menyertai kerajaan negeri itu sebelum ini tular di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai reaksi, khususnya dalam kalangan penyokong Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Sehubungan itu, Mohd Asna menyeru semua pihak supaya menghentikan polemik politik dan memberi ruang kepada Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu untuk menjalankan tanggungjawab mentadbir negeri serta melaksanakan manifesto pilihan raya.

Menurut beliau, semua pemimpin seharusnya memberi tumpuan kepada usaha membangunkan negeri dan menjaga kebajikan rakyat berbanding membangkitkan isu yang boleh menjejaskan kestabilan politik.

Dalam perkembangan sama, Mohd Asna turut menolak dakwaan bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim berhubung dakwaan wujud campur tangan pihak luar dalam urusan pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan.

Beliau berkata, dakwaan tersebut tidak berasas sambil menegaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah mencampuri urusan institusi Raja dan adat Negeri Sembilan.

Katanya, segala tindakan yang diambil adalah berdasarkan lunas undang-undang serta menghormati kedudukan institusi beraja negeri berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button