TH tegaskan zakat pendeposit sah, patuh syariah
KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menegaskan bahawa status pelunasan zakat bagi pihak pendeposit adalah sah dan telah dilaksanakan dengan sempurna selaras dengan hukum syarak.
Menurut TH dalam satu kenyataan, Jawatankuasa Penasihat Syariah (JPS) TH pada mesyuarat 2 September 2020 berpandangan bahawa pembayaran zakat bagi pendeposit sebelum pelaksanaan konsep wakalah pada 2019 adalah sah dan mematuhi hukum syarak.
Menurut TH, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 3 Mei 1979 turut menetapkan bahawa TH tidak diwajibkan membayar zakat ke atas institusi itu sendiri, sebaliknya bertanggungjawab menunaikan zakat bagi pihak pendeposit.
“Ketetapan tersebut telah dilaksanakan secara konsisten. Bagi tempoh kontrak Wadiah Yad Dhamanah antara 2016 hingga 2019, zakat yang dikeluarkan merupakan zakat perniagaan secara khultah bagi pihak pendeposit ke atas dana yang diuruskan.
“Ini kerana TH tidak diwajibkan membayar zakat ke atas institusi, tidak mempunyai pemegang saham dan keseluruhan aset yang diniagakan adalah daripada dana pendeposit,” katanya hari ini.
Sehubungan itu, TH menjelaskan pendeposit tidak perlu lagi mengeluarkan zakat ke atas wang simpanan yang sama selepas TH melunaskan zakat bagi pihak mereka kerana tindakan tersebut akan menyebabkan pertindihan zakat ke atas harta yang sama, sekali gus tidak selaras dengan prinsip Syariah.
Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) supaya isu amalan zakat TH dibawa kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) telah pun dipenuhi apabila perkara itu dibentangkan dan diperakui oleh jawatankuasa berkenaan pada Jun 2024.
“Pandangan tersebut kemudiannya dipersembahkan kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-267 pada Oktober 2024,” katanya.
Sementara itu, TH menegaskan keseluruhan operasi dan tadbir urus zakatnya adalah berpandukan Garis Panduan Zakat yang telah diluluskan serta dipantau oleh JPS TH yang dianggotai pakar-pakar Syariah dan kewangan Islam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















