Menteri Sepanyol sindir duta Israel susulan krisis pendatang di Ceuta
MADRID – Menteri Pengangkutan Sepanyol, Óscar Puente membalas kritikan Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Danny Danon berhubung cara Madrid mengendalikan kemasukan besar-besaran pendatang ke wilayah Ceuta, sekali gus memburukkan lagi hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Ketegangan tercetus selepas Danon mempersoalkan tindakan Sepanyol mengisytiharkan darurat susulan krisis pendatang di Ceuta, wilayah milik Sepanyol di utara Afrika yang turut dituntut oleh Maghribi.
Pada penghujung Julai lalu, kira-kira 60,000 pendatang, kebanyakannya lelaki muda termasuk sekitar 8,000 kanak-kanak, menyeberangi sempadan dari Maghribi ke Ceuta dalam antara gelombang kemasukan pendatang terbesar pernah direkodkan di wilayah Kesatuan Eropah (EU).
Kejadian itu menyebabkan pusat perlindungan pendatang di Ceuta lumpuh, memaksa kerajaan Sepanyol mengisytiharkan darurat dan mengerahkan anggota tentera bagi mengawal keadaan.
Menerusi hantaran di platform X, Danon menyindir Sepanyol yang sering mengkritik Israel berhubung konflik di Gaza.
“Sepanyol sentiasa mencari peluang untuk mengajar Israel tapi akhirnya terpaksa mengisytiharkan darurat di Ceuta akibat krisis imigresen.
“Mungkin sebelum terus mengkritik kami, Sepanyol perlu menjelaskan kepada dunia mengapa ia masih mengekalkan wilayah kolonial di Afrika,” katanya.
Puente kemudian membalas hantaran itu dengan kenyataan ringkas berbunyi, “Kini semuanya semakin jelas” yang dipercayai merujuk kepada pendirian Israel menyokong insiden berkenaan.

Pertikaman lidah itu berlaku ketika hubungan Madrid dan Tel Aviv terus tegang berikutan pendirian lantang Sepanyol mengkritik operasi ketenteraan Israel di Gaza, selain mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara pada 2024 serta berulang kali menggesa gencatan senjata.
Beberapa ahli politik dan penganalisis di Sepanyol turut mendakwa gelombang kemasukan pendatang itu mungkin mempunyai kaitan dengan pendirian Madrid terhadap konflik di Gaza, namun tiada bukti awam yang menyokong dakwaan tersebut.
Sementara itu, Duta Israel ke Sepanyol, Dana Erlich menjauhkan kerajaan Israel daripada kenyataan Danon dengan menegaskan pandangan tersebut tidak mewakili pendirian rasmi negara itu.
Krisis di Ceuta turut mencetuskan kebimbangan negara-negara Eropah lain apabila Perancis memperketat kawalan sempadan, manakala Itali memberi amaran berhubung kemungkinan implikasi terhadap peraturan kawasan Schengen.
Sekurang-kurangnya 57 hingga 67 orang dilaporkan maut dalam insiden di Ceuta, kebanyakannya akibat lemas ketika cuba berenang ke pantai atau rempuhan ketika memanjat pagar sempadan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















