DALAM NEGERI

Isu anjing liar: Amirudin minta semua pihak tidak selektif buat tuduhan

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan meneruskan tindakan menangani isu anjing liar, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira keseimbangan antara aspek keselamatan awam dan kebajikan haiwan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri kekal komited dalam memastikan keselamatan rakyat terus terpelihara tanpa mengabaikan kebajikan haiwan.

“Kita akan ambil ambil tindakan berterusan terhadap anjing liar …cuma kerajaan negeri kena bertindak demi kemaslahatan umum.

“Tindakan dibuat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang juga bangkitkan isu keselamatan rakyat tetapi kenapa tuduhan dikenakan oleh pihak tertentu, pihak luar.

“Sebab itu saya sebutkan titik keseimbangan. Titik keseimbangan adalah kita perlu buat tindakan, elakkan daripada peristiwa anjing berkeliaran yang menyebabkan faktor keselamatan.

“Jadi, jangan selektif dalam membuat tuduhan,” katanya ketika mengulas dakwaan bahawa kebajikan haiwan lebih diutamakan berbanding keselamatan rakyat yang menjadi mangsa serangan anjing liar.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Himpunan Penjawat Awam Bersama Menteri Besar Selangor di Auditorium Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, isu berkenaan turut mendapat perhatian Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang mahu tindakan undang-undang dikenakan terhadap individu yang menganiaya haiwan.

“Janganlah marah jika ada orang prihatin dalam bab kebajikan haiwan sebab kita juga menjaga kebajikan manusia,” katanya.

Sebelum ini, operasi menangkap anjing liar yang dijalankan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Taman Teluk Gedung Indah pada penghujung bulan lalu tular di media sosial selepas tercetus kekecohan apabila seekor anjing mati ketika operasi dijalankan.

Kes berkenaan kini sedang disiasat polis.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button