Kerajaan akan pinda akta pastikan pencuri kabel rel terima hukuman lebih berat
KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meminda undang-undang berkaitan bagi memastikan pencuri kabel di fasiliti rel negara berdepan tindakan lebih berat.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata, pindaan yang dijangka dibentang pada sesi Parlimen akan datang itu turut mencadangkan kadar denda dinaikkan sehingga RM100,000, berbanding hanya RM1,000 ketika ini.
Beliau berkata, pindaan undang-undang tersebut amat mendesak memandangkan hukuman sedia ada disifatkan terlalu ringan, berbanding kesan kerosakan serta kelewatan operasi tren yang terpaksa ditanggung pengendalinya, lapor BERNAMA.
“Kita akan meminda undang-undang ini sampai mencecah RM100,000 setiap kesalahan. Ia dalam proses dan insya Allah mungkin hujung tahun ini dalam sesi seterusnya akan dibawa ke dalam Dewan ini,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Hasbi berkata, langkah itu turut didorong lonjakan kes kecurian kabel yang mencatatkan nilai kerugian keseluruhan mencecah RM50 juta merentasi rangkaian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Prasarana Malaysia Berhad dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Katanya, 71 kes kecurian kabel direkodkan di sepanjang jajaran projek ECRL dengan anggaran kerugian RM4.06 juta, manakala 13 kes kecurian serta kerosakan peralatan dan bahan lain berkaitan sistem mengakibatkan kerugian RM0.69 juta.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM4.75 juta. Walaupun ECRL masih berada dalam fasa pembinaan dan belum melibatkan gangguan perjalanan kepada pengguna, insiden tersebut berpotensi menjejaskan jadual pelaksanaan projek, termasuk kerja-kerja pemasangan, pengujian, pentauliahan dan persediaan operasi,” katanya.
Dalam pada itu, bagi memperkukuh kawalan keselamatan di lapangan, Hasbi berkata, kerajaan kini dalam proses memasang 1,146 kamera litar tertutup (CCTV) di sepanjang jajaran landasan dari Johor hingga ke utara tanah air.
Selain itu, beliau berkata KTMB turut memperoleh 20 unit motosikal scrambler untuk kegunaan polis bantuan memperketat rondaan 24 jam, selain melaksanakan kawalan fizikal seperti penutupan lurang berkeselamatan tinggi dan penggunaan anjing pengesan (K9).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















