Juruteknik didakwa pandu melulu hingga sebabkan tiga maut, mengaku tidak bersalah
PEKAN – Seorang juruteknik sebuah syarikat pembekal peralatan pertanian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Pekan atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian tiga individu dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Segamat, Jun lalu.
Tertuduh, Syed Muhammad Izzar Aiman Syed Ahmad, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Melody Woon Sze Mun.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max secara melulu sehingga menyebabkan kematian Dr Mohamad Zekry Zuhairy Mohd Atan, 33, anak perempuannya, Dhea Sofia, 2, serta seorang lagi pemandu, Azaharuddin Mohd Ali, 46.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 5.30 petang di Kilometer 67, Jalan Kuantan-Segamat pada 19 Jun lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Kamisah Ismail memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Muhamad Izwan Ishak memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya hanya berpendapatan RM1,500 sebulan selain perlu menyara isterinya yang sedang hamil tiga bulan.
Beliau turut membantah penggantungan lesen memandu kerana dikhuatiri menjejaskan pekerjaan tertuduh.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin. Selain itu, lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai dan dia turut diarahkan melapor diri di balai polis berhampiran.
Mahkamah menetapkan 18 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Dalam nahas yang berlaku pada 19 Jun lalu, tiga individu maut, termasuk seorang doktor yang bertugas di Hospital Segamat serta anak perempuannya yang berusia dua tahun, manakala enam lagi dilaporkan cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








