BERITA SEMASA

MB Negeri Sembilan umum esok cuti peristiwa

SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan mengisytiharkan esok sebagai cuti peristiwa bagi menghargai komitmen rakyat serta semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, keputusan itu dibuat sebagai tanda penghargaan kepada pengundi, petugas pilihan raya serta semua yang terlibat sepanjang proses demokrasi berlangsung.

“Sebagai menghargai komitmen rakyat dalam menghadapi PRN, saya mengumumkan cuti peristiwa esok,” katanya pada sidang media di Seri Menanti Resort, di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim.

Terdahulu, Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dalam istiadat yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti pada pukul 11.37 pagi.

Istiadat itu turut disaksikan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud bersama Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al’Abidin.

Hadir sama Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Muhammad Faris Johari; Undang Luak Rembau, Datuk Hassan Ab Hamid; Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan serta barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang baharu dipilih.

Pada PRN Negeri Sembilan semalam, Ismail berjaya mempertahankan kerusi DUN Juasseh apabila memperoleh majoriti 4,323 undi dalam pertandingan tiga penjuru menewaskan Mohd Zuhaimi Md Yusof (BERSATU) dan Mohd Aidil Abdullah (Pakatan Harapan).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button