18 projek tebatan banjir Pahang bernilai RM3.184 bilion dilaksana – Wan Rosdy
KUANTAN – Sebanyak 18 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negeri Pahang melibatkan kos keseluruhan RM3.184 bilion sedang dan akan dilaksanakan bagi mengurangkan risiko banjir di negeri ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan berkenaan merangkumi pelaksanaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menurut beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 11 projek telah bermula secara fizikal di tapak, manakala enam lagi masih berada pada peringkat reka bentuk. Satu projek baharu pula telah diluluskan di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) RMK13.
“Alhamdulillah, kos keseluruhan RM3.184 bilion ini satu angka yang besar dan saya yakin ia mampu mengurangkan risiko banjir di negeri Pahang,” katanya ketika menjawab soalan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Beliau berkata, projek-projek berkenaan melibatkan beberapa daerah utama termasuk Pekan, Kuantan, Temerloh, Lipis dan Bera yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko banjir.
Dalam pada itu, Wan Rosdy memaklumkan projek RTB di Sungai Bentong yang bermula pada November 2025 dijangka siap pada November 2029.
Bagaimanapun, beliau berkata tempoh siap projek tersebut bergantung kepada kelancaran kerja kontraktor serta keadaan semasa di lapangan.
“Sekiranya semua berjalan lancar tanpa sebarang gangguan, projek ini dijangka dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan kepada usaha mitigasi banjir secara berperingkat demi keselamatan penduduk dan kelestarian pembangunan di Pahang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








