BERITA SEMASA

RCI Tabung Haji: Jamil Khir sedia terus disiasat, tegaskan tiada unsur ‘sakau’

SEREMBAN – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan beliau sedia memberikan kerjasama sekiranya pihak berkuasa meneruskan siasatan susulan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).

Menurutnya, sebagai rakyat Malaysia, beliau tidak mempunyai masalah untuk disiasat dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

“Saya rakyat Malaysia. Kalau nak disiasat, tak apa. Takkan pula kita nak lari,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Beliau berkata, pihak berkaitan sebenarnya telah pun melalui proses siasatan sejak 2018, iaitu sebelum RCI ditubuhkan.

Mengulas dapatan laporan RCI, Jamil Khir berkata, laporan berkenaan tidak menemukan sebarang unsur penyelewengan kewangan seperti mencuri, merompak atau menyalahgunakan wang pendeposit.

Sebaliknya, katanya, isu yang dibangkitkan lebih tertumpu kepada laporan kewangan TH bagi tahun 2017 yang melibatkan kedudukan liabiliti dan aset institusi berkenaan.

“Dalam laporan lebih 200 muka surat itu, tidak ada disebut berlaku sakau, curi atau rompak. Yang dibangkitkan ialah berkaitan laporan kewangan 2017,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, sepanjang tempoh pentadbirannya dari tahun 2009 hingga 2017, TH menerima laporan audit bersih daripada Jabatan Audit Negara.

Menurutnya, pengiktirafan tersebut membuktikan kedudukan kewangan TH ketika itu berada pada tahap yang baik dan keuntungan yang diperoleh melebihi tanggungan liabiliti.

Mengulas dakwaan bahawa menteri mempunyai kuasa mutlak dalam membuat keputusan pelaburan TH, beliau menjelaskan bahawa setiap keputusan dibuat berdasarkan syor dan kelulusan Lembaga Tabung Haji.

“Semua cadangan pelaburan turut melalui proses semakan pengurusan risiko serta penilaian oleh pasukan pelaburan sebelum diputuskan.

“Bukan menteri boleh buat keputusan seorang diri. Semua perkara perlu melalui lembaga dan proses tadbir urus yang ditetapkan,” katanya lagi.

Jamil Khir turut mempertahankan kredibiliti ahli lembaga TH ketika itu yang disifatkannya terdiri daripada tokoh berpengalaman dalam sektor awam, perundangan dan syariah.

Beliau berkata, kewujudan pelbagai lapisan semakan dan pemantauan membuktikan TH mempunyai sistem tadbir urus yang kukuh dalam menguruskan dana pendeposit.

Mengenai teguran Bank Negara Malaysia berhubung isu rizab pada 2014 dan 2015, beliau menjelaskan TH mempunyai model operasi yang berbeza daripada institusi perbankan.

“Keuntungan yang diperoleh digunakan untuk memberikan hibah kepada pendeposit serta menampung subsidi haji, bukannya diagihkan kepada ahli lembaga atau pihak pengurusan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik keputusan kerajaan mendedahkan laporan RCI kepada umum kerana ia memberi peluang kepada masyarakat menilai sendiri kandungan laporan tersebut.

Menurutnya, langkah itu dapat membantu memperbetulkan persepsi serta dakwaan negatif yang dilemparkan terhadap TH sebelum ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button