BERITA SEMASA

Papan tanda stesen minyak hangus terbakar di Sungai Besi

SERI KEMBANGAN Papan tanda harga sebuah stesen minyak di Sungai Besi berhampiran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke Seremban di sini musnah dalam kebakaran kira-kira pukul 10 malam tadi.

Api berjaya dipadam oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tanpa membabitkan kejadian tidak diingini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.57 malam.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Kembangan dikerahkan ke lokasi dan tiba kira-kira sembilan minit kemudian.

“Komander operasi melaporkan kebakaran hanya membabitkan papan tanda harga sebuah stesen minyak dengan anggaran kemusnahan 100 peratus.

“Kebakaran berjaya dipadamkan di lokasi oleh anggota bomba,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, operasi berjaya dikawal pada jam 10.22 malam sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 11 malam.

Menurutnya, seramai lima anggota bomba bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) terbabit dalam operasi pemadaman itu.

Terdahulu, beberapa rakaman video memaparkan kebakaran berhampiran stesen minyak berkenaan tular di media sosial sebelum pihak bomba mengesahkan kejadian itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button