PAS dan UMNO guna isu kaum dan agama kerana tiada agenda lain – Faiz Fadzil
SERTING – Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Faiz Fadzil mendakwa PAS dan UMNO terus memainkan sentimen kaum serta agama kerana tidak mempunyai isu lain untuk menarik sokongan rakyat.
Menurutnya, Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan dengan jelas kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, hak orang Melayu, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta kedaulatan institusi diraja.
“Ini melambangkan bahawa sebenarnya di Malaysia tidak ada apa-apa masalah berkaitan hak mana-mana kaum atau agama kerana semuanya telah dinyatakan dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Dari sudut pelaksanaan pula, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan mahupun negeri telah menyediakan pelbagai peruntukan dan inisiatif berkaitan hal ehwal Islam,” katanya kepada Malaysia Tribune selepas program ceramah di Felda Serting di sini hari ini.
Faiz berkata, dakwaan kononnya PH gagal mempertahankan Melayu dan Islam hanyalah naratif politik yang sengaja dimainkan untuk membangkitkan kemarahan orang Melayu.
“Isu apa yang kita tidak pertahankan? Kalau bercakap mengenai perkara yang menyentuh hak orang bukan Islam seperti rumah ibadat atau keperluan mereka, itu memang hak yang dijamin dan mana-mana kerajaan akan memberikan hak yang sama kepada rakyat bukan Islam.
“Di Kedah sendiri kerajaan negeri pernah membuat pengumuman berkaitan pemberian tanah kepada kuil. Jadi apa bezanya?” katanya lagi.
Menurut beliau, usaha meniup sentimen perkauman hanya akan merosakkan keharmonian masyarakat majmuk dan boleh mencetuskan konflik antara kaum.
“Kalau kita mengamalkan konsep kesederhanaan dan keseimbangan antara kaum, hubungan akan kekal harmoni. Tetapi apabila api perkauman disemarakkan, akhirnya akan berlaku perpecahan,” katanya lagi.
Mengulas dakwaan PAS memperjuangkan penyatuan Melayu, Faiz menegaskan parti itu pernah mencetuskan perpecahan dalam kalangan orang Melayu pada era 1980-an.
“PAS buat perpecahan, bukan benda baharu. Zaman amanat yang menyebabkan orang Melayu berpecah-belah ketika itu sehingga berlaku solat dua imam, masjid berasingan dan kenduri tidak diziarahi.
“Saya sendiri mengalami keadaan itu dan sehingga hari ini PAS tidak pernah menafikannya. Jadi apabila mereka bercakap soal penyatuan, itu tidak benar,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















