Malaysia gesa Jepun tangani kebimbangan pelepasan air terawat Fukushima
PUTRAJAYA – Malaysia berpuas hati dengan jaminan Jepun dan laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengenai kesan radiologi yang minima terhadap kehidupan marin hasil pelepasan air terawat dari Loji Kuasa Nuklear Fukushima Daiichi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, beliau menekankan Jepun harus terus mempertimbangkan pandangan, cadangan, dan kebimbangan yang dikemukakan oleh Malaysia dan negara-negara serantau lain mengenai perkara itu kerana kesannya merentasi sempadan.
“…(kita) memberi jaminan kepada Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida bahawa kita (Malaysia) akan terus membeli produk dari Jepun,” katanya dalam sidang akhbar bersama dengan Kishida, di sini hari ini.
Pada 24 Ogos, dilaporkan bahawa Jepun telah mula melepaskan air terawat dari loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi ke laut.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata, sidang kemuncak peringatan ulang tahun ke-50 Hubungan Dialog ASEAN-Jepun akan diadakan pada pertengahan Disember depan di Tokyo.
Anwar juga berharap isu-isu bilateral antara Malaysia dan Jepun dalam bidang pertahanan dan keselamatan, pendidikan, dan peralihan tenaga akan dibincangkan secara mendalam semasa dialog ini dan beberapa perjanjian akan dimuktamadkan.
Selepas pertemuan hari ini, Anwar mengatakan beliau turut gembira dengan komitmen Jepun untuk menyokong inisiatif ASEAN termasuk perkara lima konsensus (5PC) untuk membawa keamanan ke Myanmar.
Lawatan dua hari Kishida ke Malaysia bermula pada Sabtu signifikan kerana bersempena dengan ulang tahun ke-50 Persahabatan dan Kerjasama ASEAN-Jepun tahun ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














