MOMOYO perluas operasi menerusi francais, sasar 500 cawangan menjelang 2027
KUALA LUMPUR – Rangkaian minuman dan bakeri Asia Tenggara, MOMOYO menyasarkan untuk mengembangkan operasinya kepada 500 cawangan di Malaysia menjelang 2027 menerusi model francais, sejajar dengan permintaan terhadap minuman premium pada harga mampu milik yang terus meningkat.
Pengurus Besar MOMOYO Malaysia, Alex Tan berkata, Malaysia kekal sebagai pasaran pertumbuhan utama bagi jenama itu dalam usaha memperluaskan kehadirannya di peringkat serantau.
Beliau berkata, perkembangan pesat syarikat berlaku ketika persaingan dalam industri makanan dan minuman (F&B) semakin sengit, didorong permintaan pengguna yang kekal kukuh, proses urbanisasi serta kecenderungan terhadap tawaran gaya hidup premium pada harga berpatutan.
“MOMOYO memanfaatkan model francais serta rantaian bekalan yang dibangunkan di Indonesia, di mana syarikat mengendalikan lebih 1,500 cawangan.
“Di seluruh Asia Tenggara pula, jenama ini telah membina rangkaian melebihi 2,000 cawangan merangkumi Indonesia, Malaysia, Brunei, Myanmar, Thailand, Vietnam dan Filipina,” katanya.
Sejak memasuki pasaran Malaysia pada April 2024, MOMOYO kini memiliki 220 cawangan dan menjangkakan jumlah itu melepasi 300 cawangan menjelang akhir tahun ini.
Dalam jangka panjang, syarikat turut menetapkan sasaran memiliki 600 cawangan dengan peluasan ke bandar peringkat kedua serta pasaran baharu di seluruh negara, selain pusat bandar utama.

Mengulas lanjut, Alex berkata, model francais yang terbukti berkesan itu membuka peluang kepada usahawan untuk menceburi industri makanan dan minuman dengan sokongan menyeluruh daripada syarikat.
Katanya, MOMOYO menyediakan bantuan meliputi pemilihan lokasi, reka bentuk premis, pengurusan rantaian bekalan, pembangunan produk, prosedur operasi standard (SOP), latihan profesional serta operasi harian.
“Sistem sokongan bersepadu ini membolehkan rakan francais menubuhkan dan mengendalikan perniagaan mereka dengan cekap sambil membina kejayaan jangka panjang bersama jenama ini,” katanya.
Sejak memasuki pasaran Malaysia, MOMOYO menawarkan minuman pada harga antara RM5 hingga RM10 dengan sasaran pengguna muda menerusi pilihan teh buah-buahan, minuman matcha dan pelbagai minuman premium lain pada harga mampu milik.
Alex berkata, jenama itu berjaya membezakan dirinya dalam pasaran menerusi inovasi produk berterusan, pensijilan halal serta tenaga kerja yang terdiri daripada 99 peratus rakyat Malaysia.
Sebagai sebahagian daripada strategi peluasan produk, MOMOYO baru-baru ini memperkenalkan Siri Real Matcha yang dipertingkatkan dengan kandungan matcha 20 peratus lebih tinggi dan merancang melancarkan Siri Fresh Brew bagi memenuhi permintaan terhadap teh yang dibancuh segar.
Selain itu, syarikat merancang memperkenalkan antara enam hingga lapan produk baharu setiap tahun termasuk minuman yang disesuaikan dengan cita rasa rakyat Malaysia seperti cendol, kopi putih, gula Melaka, minuman ais krim teh susu dan minuman berasaskan lemon.
MOMOYO turut berhasrat memperluaskan penawaran produknya dengan bakeri segar, kopi premium dan donut bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai rangkaian minuman dan bakeri sehenti.
Tambah Alex, syarikat akan terus melabur dalam pasaran Malaysia menerusi produk inovatif, sistem francais yang kukuh dan strategi perniagaan mampan bagi mempercepatkan sasaran pembukaan 500 cawangan.
Beliau berkata, MOMOYO mengalu-alukan lebih ramai usahawan menyertai program francais syarikat bagi merebut peluang dalam industri makanan dan minuman yang semakin berkembang, sekali gus merealisasikan visi menjadi jenama minuman dan bakeri komuniti terkemuka di Asia Tenggara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















