Pekerja kilang perabot warga Myanmar maut ditikam rakan sekerja
KAJANG – Seorang lelaki warga Myanmar maut ditikam dalam pergaduhan dipercayai dengan rakan sekerja di sebuah kilang perabot di Sungai Lalang, Semenyih di sini awal pagi semalam.
Mangsa yang berusia 23 tahun disahkan maut akibat tikaman pada bahagian kiri perut oleh pegawai perubatan Hospital Kajang.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian daripada majikan pada pukul 1.42 pagi.
Kejadian dikatakan berlaku akibat perselisihan faham antara mangsa yang dipercayai mabuk dengan rakan sekerja.
“Sepasukan pegawai dan anggota polis dikejarkan ke lokasi, namun mangsa yang berusia 23 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kajang.
“Pemeriksaan menemukan luka tikaman pada bahagian kiri perut mangsa dan mayat dibawa ke Hospital Kajang untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bertindak atas maklumat diterima, polis menahan dua lelaki warga Myanmar berusia 24 dan 28 tahun di Sungai Buloh pada pukul 12.35 tengah malam tadi.
Polis menemukan dua pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 10 November dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.