PH gesa laporan RCI Tabung Haji didedahkan kepada umum
SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan mendedahkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji bagi membolehkan rakyat mengetahui fakta sebenar berhubung isu yang sekian lama menjadi polemik politik.
Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, beliau telah beberapa kali membangkitkan perkara itu di Dewan Negara sejak 2023, namun dimaklumkan laporan berkenaan masih tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Menurutnya, pendedahan laporan tersebut penting bagi mengelakkan isu Tabung Haji terus dimanipulasi, khususnya berkaitan proses pemulihan institusi itu yang dilaksanakan antara tahun 2018 hingga 2020.
“Pendirian saya sejak dahulu konsisten. Laporan RCI ini perlu didedahkan agar rakyat mengetahui fakta sebenar dan isu Tabung Haji tidak terus dijadikan bahan politik,” katanya pada sidang media PH Negeri Sembilan di sini hari ini.
Mujahid yang pernah berkhidmat sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, beliau bertanggungjawab memulakan proses penstrukturan semula Tabung Haji ketika institusi itu berdepan defisit hampir RM10 bilion antara aset dan tanggungan.
“Langkah tersebut diambil bagi menyelamatkan Tabung Haji serta melindungi kepentingan para pendeposit,” katanya lagi.
Beliau berkata, sepanjang tempoh itu pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap dirinya dan kerajaan Pakatan Harapan, termasuk dakwaan kononnya aset Tabung Haji dijual kepada pihak bukan Islam serta tindakan pemulihan yang dilakukan telah merosakkan institusi berkenaan.
“Tuduhan dan fitnah ini dimainkan dalam ceramah politik, media sosial dan masih diulang sehingga hari ini termasuk dalam kempen pilihan raya,” katanya lagi.
Menurut beliau, segala dakwaan tersebut telah dijawab melalui pelbagai saluran termasuk debat terbuka, tindakan undang-undang dan keterangan yang diberikan kepada panel RCI.
“Malah beberapa keputusan mahkamah turut memihak kepadanya termasuk melibatkan permohonan maaf terbuka daripada pihak yang memfitnah serta penolakan dakwaan terhadap saya,” katanya lagi.
Mujahid berkata, beliau turut hadir sebagai saksi dalam prosiding RCI dan memberikan kerjasama penuh dengan mengemukakan dokumen serta penjelasan yang diperlukan kepada panel suruhanjaya.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik kenyataan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan pendedahan laporan RCI Tabung Haji dan berharap Jemaah Menteri membuat keputusan untuk mendedahkannya kepada umum.
“Biarlah rakyat mengetahui sendiri apa sebenarnya yang berlaku kepada Tabung Haji dalam tempoh berkenaan, siapa yang bertanggungjawab terhadap kemelut yang berlaku dan siapa yang telah berusaha memulihkan institusi ini.
“Ini bukan lagi soal politik atau mempertahankan individu, tetapi soal menegakkan kebenaran, memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi Tabung Haji dan memastikan fakta mengatasi fitnah,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















