LUAR NEGARA

Lebih 35,000 dipindahkan, kebakaran hutan musnahkan puluhan rumah di Perancis

PARIS – Lebih 35,000 penduduk dan pelancong dipindahkan selepas kebakaran hutan besar melanda Semenanjung Cap Ferret di barat daya Perancis, sekali gus memusnahkan lebih 50 rumah serta sebuah tapak perkhemahan.

Kebakaran yang bermula di perkampungan Saumos, berhampiran kawasan ladang anggur Médoc pada Rabu lalu kini merebak pantas ke Cap Ferret susulan cuaca panas melampau dan angin kencang.

Pihak berkuasa mengarahkan pemindahan penuh kawasan peranginan itu yang ketika ini menempatkan kira-kira 40,000 penduduk bermusim.

Kebanyakan mangsa dipindahkan melalui satu-satunya laluan darat, manakala ratusan lagi dibawa keluar menggunakan bot.

Wilayah Gironde, Sophie Brocas, menyifatkan kebakaran itu sebagai kebakaran berskala ‘XXL’ yang sukar diramal dan ganas.

Setakat ini, tiada kematian dilaporkan, namun operasi memadam kebakaran masih diteruskan bagi mengawal api yang terus merebak di kawasan hutan pokok pain.

Cap Ferret terkenal sebagai destinasi percutian musim panas golongan elit Perancis termasuk pelakon Marion Cotillard dan Jean Dujardin, selain menjadi tarikan kerana pantai berpasir serta perusahaan tiram.

Sementara itu, kebakaran berasingan turut berlaku berhampiran Biscarrosse di barat daya Bordeaux, menyebabkan kira-kira 18,000 lagi penduduk dipindahkan.

Pegawai wilayah Landes, Gilles Clavreul berkata, situasi yang dihadapi ketika ini adalah yang paling buruk pernah dialami kawasan tersebut.

Perancis berdepan tiga gelombang haba sejak Mei lalu yang meningkatkan risiko kebakaran hutan, selain dikaitkan dengan perubahan iklim yang mencetuskan cuaca ekstrem di seluruh negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button