DAP gesa siasatan terhadap Sanusi, dakwa kenyataan berbaur perkauman
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera terhadap Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, susulan kenyataan beliau yang didakwa berbaur perkauman ketika berkempen di Negeri Sembilan.
Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan Parti Tindakan Demokratik (DAP) berkata, kenyataan Sanusi bukan sahaja tidak sensitif terhadap masyarakat bukan Melayu, malah disifatkan sebagai mengabaikan semangat saling menghormati dan persefahaman antara kaum yang sekian lama menjadi asas perpaduan negara.
Menurut beliau, Sanusi dilaporkan berkata bahawa orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu sebagai tanah air mereka, manakala kaum India mempunyai India, kaum Cina mempunyai China, rakyat Kemboja mempunyai Kemboja dan masyarakat Siam mempunyai Thailand.
“Selepas itu, beliau turut menyeru agar PAS dan UMNO bersatu semula demi mempertahankan bangsa dan agama.
Kenyataan sedemikian tidak boleh dianggap sebagai kebetulan kerana ia dibuat tidak lama selepas Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang,
mengeluarkan kenyataan pada 16 Julai lalu yang memberi gambaran bahawa masyarakat bukan Melayu merupakan “pendatang” di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ramkarpal mendakwa kenyataan itu memberi gambaran bahawa masyarakat India dan Cina tidak tergolong sebagai sebahagian daripada rakyat negara ini kerana mereka kononnya boleh kembali ke negara asal masing-masing.
Katanya, retorik berunsur perkauman seperti itu tidak mempunyai tempat dalam masyarakat majmuk Malaysia dan sekiranya dibiarkan tanpa tindakan, ia berpotensi mencetuskan ketegangan antara kaum.
Sehubungan itu, Ramkarpal menggesa parti komponen Barisan Nasional (BN), MIC dan MCA, menyatakan pendirian mereka terhadap kenyataan PAS serta menjelaskan sama ada mereka bersedia meninggalkan gabungan itu sekiranya isu berkenaan tidak ditangani.
Beliau turut menyifatkan gesaan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, supaya BN bergerak secara bersendirian tidak mencukupi untuk mengurangkan kesan kenyataan tersebut, sambil mendakwa UMNO masih belum mengecam PAS berhubung isu berkenaan.
Ramkarpal berkata, kegagalan UMNO menegur PAS, selain kerjasama kedua-dua parti di Negeri Sembilan, menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan hubungan antara kaum.
Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa memulakan siasatan terhadap Sanusi dengan segera bagi mengelakkan kenyataan seumpama itu berulang, khususnya sepanjang tempoh kempen pilihan raya, yang menurutnya boleh menjejaskan keharmonian kaum di negara ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















