Sentimen mungkin bertahan seminggu, tetapi keputusan beri kesan lima tahun – Zunar
SEREMBAN – Kartunis dan aktivis politik, Zunar mengingatkan pengundi supaya tidak membuat keputusan berdasarkan sentimen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kerana kesannya akan dirasai dalam tempoh lima tahun.

Beliau berkata, sentimen yang dimainkan sepanjang tempoh kempen mungkin hanya bertahan sementara, namun keputusan yang dibuat ketika mengundi akan menentukan masa depan rakyat dan negeri.
“Sentimen mungkin bertahan seminggu, tetapi keputusan yang kita buat itu memberi kesan lima tahun. Kita mesti ingat lima tahun itu, kita tidak akan hidup dengan sentimen sepanjang tempoh tersebut.
“Jangan buat keputusan ketika dipengaruhi emosi kerana keputusan itu boleh membawa kesan besar,” katanya ketika ditemui Malaysia Tribune pada program Borak Santai Belia Sahabat MADANI di DUN Ampangan, di sini hari ini.
Menurut Zunar, pengundi perlu menilai berdasarkan fakta dan pencapaian kerajaan, bukannya terpengaruh dengan naratif perkauman atau sentimen tertentu yang dimainkan sepanjang kempen.
Beliau berkata, rakyat perlu lebih matang dalam membuat pilihan dengan mendapatkan maklumat yang tepat sebelum menentukan sokongan kepada mana-mana calon.
“Saya mahu rakyat melihat fakta dan menolak naratif perkauman. Sentimen yang dibangkitkan ini hanya sementara, tetapi keputusan pilihan raya akan menentukan perjalanan negeri untuk tempoh yang panjang,” katanya lagi.
Tambahnya, Negeri Sembilan sebagai sebuah negeri berbilang kaum memerlukan pemimpin yang mampu mewakili kepentingan semua masyarakat, bukan hanya kelompok tertentu.
“Jangan pilih hanya berdasarkan kaum atau agama sahaja kerana ia tidak menggambarkan keseluruhan rakyat Negeri Sembilan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















