PMX

PM bantu selesai isu tanah Orang Asli Sungai Cot, bawa kepada Kerajaan Pahang

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi membantu menyelesaikan pertikaian tanah yang membabitkan masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Cot di Maran, Pahang, dengan membawa isu itu kepada perhatian Kerajaan Pahang.

Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar selaku Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, langkah itu diambil memandangkan urusan pentadbiran dan pemilikan tanah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Berhubung pertikaian tanah di Kampung Sungai Cot, Perdana Menteri telah menegaskan bahawa perkara tersebut akan dibawa ke perhatian Kerajaan Pahang memandangkan urusan pentadbiran dan pemilikan tanah berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan kepada Kerajaan Pahang dalam urusan tanah. Namun begitu, beliau tidak pernah berdiam diri. Beliau akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dengan mengangkat isu ini kepada Kerajaan Negeri agar penyelesaian dapat dicapai segera secara adil, berhemah dan berlandaskan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhammad Kamil berkata, dalam keghairahan segelintir pihak meraih keuntungan politik, fakta serta prinsip Perlembagaan tidak seharusnya diputarbelitkan sehingga mengelirukan rakyat.

Katanya, tindakan sedemikian bukan sahaja tidak membantu masyarakat Orang Asli, malah berpotensi melambatkan usaha mencari penyelesaian terhadap isu berkenaan.

“Justeru, Kerajaan Pahang diseru agar tidak lagi berlengah dan segera melaksanakan tanggungjawab di bawah bidang kuasanya. Hak serta kebajikan masyarakat orang asli tidak boleh terus terkesan akibat kelewatan membuat keputusan. Mereka berhak memperoleh penyelesaian yang adil, bermaruah dan tanpa penangguhan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button