IRC 2026: Reruai MCMC tarik perhatian peserta, pengalaman VR buka mata tentang bahaya buli siber
DI sebalik perbincangan dasar dan pembentangan mengenai masa depan kawal selia digital pada Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026, reruai interaktif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjadi antara lokasi yang paling mendapat perhatian peserta.
Reruai itu bukan sekadar mempamerkan maklumat mengenai inisiatif MCMC, malah menawarkan pengalaman realiti maya (VR) yang membolehkan pengunjung menyelami sendiri kesan buli siber terhadap mangsa, sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai ancaman yang semakin membimbangkan dalam era digital.
Wakil MCMC berkata, kebanyakan peserta dari dalam dan luar negara menunjukkan minat yang tinggi untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), termasuk pelaksanaannya dalam memperkukuh perlindungan pengguna internet di Malaysia.

“Ramai peserta datang bertanyakan mengenai ONSA dan bagaimana akta ini dilaksanakan. Mereka memberikan respons yang sangat positif kerana melihat Malaysia mengambil langkah proaktif dalam memperkukuhkan keselamatan dalam talian menerusi kerangka perundangan yang lebih menyeluruh,” katanya ketika ditemui Malaysia Tribune.
Selain mendapatkan penjelasan mengenai ONSA, peserta turut berpeluang mencuba simulasi VR yang membawa mereka menyelami situasi sebenar mangsa buli siber.
Melalui pengalaman itu, pengunjung didedahkan kepada bentuk-bentuk buli siber, faktor yang menyumbang kepada berlakunya gejala tersebut serta saluran yang boleh digunakan untuk membuat aduan atau mendapatkan bantuan.
Pendekatan interaktif itu ternyata berjaya menarik perhatian peserta yang mengakui pengalaman tersebut memberi gambaran lebih jelas mengenai impak psikologi dan emosi yang dialami mangsa.
“Apabila mereka memakai set VR, mereka bukan sekadar membaca maklumat tetapi seolah-olah berada dalam situasi sebenar.
“Itu menjadikan mesej yang ingin disampaikan lebih mudah difahami dan meninggalkan kesan,” katanya.
Bagi menguji tahap pemahaman peserta, reruai itu turut menyediakan kuiz interaktif berkaitan keselamatan dalam talian dan buli siber.
Menurut wakil MCMC, pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman atau experiential learning itu dilihat lebih berkesan dalam menyampaikan mesej keselamatan digital, terutama kepada generasi muda yang lebih dekat dengan teknologi.

IRC 2026 yang dianjurkan oleh MCMC buat tahun ketiga berlangsung di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur pada 21 dan 22 Julai lalu, menghimpunkan kira-kira 3,000 peserta serta 39 panelis dan speaker dari dalam dan luar negara.
Persidangan itu menjadi platform kepada pengawal selia, pembuat dasar, pemimpin industri, ahli akademik dan pakar untuk membincangkan hala tuju kawal selia digital, cabaran perkembangan teknologi serta usaha membentuk kerangka perundangan yang mampu melindungi pengguna tanpa mengekang inovasi.
Di tengah-tengah perbincangan mengenai kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber dan tadbir urus digital, reruai MCMC membuktikan bahawa mesej keselamatan dalam talian bukan sahaja boleh disampaikan melalui forum dan syarahan, malah mampu diterjemahkan menerusi pengalaman interaktif yang lebih dekat dengan masyarakat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















