PMX

Laporan akhir RCI Tabung Haji boleh didedah hari ini atau minggu depan – Anwar

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersedia mendedahkan laporan akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi membolehkan rakyat meneliti dakwaan penjualan aset strategik agensi itu sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan mendapatkan pandangan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar sama ada laporan berkenaan boleh didedahkan hari ini atau perlu dibawa terlebih dahulu ke mesyuarat Jemaah Menteri Rabu depan.

Menurut beliau, pendedahan laporan itu penting kerana rakyat mempunyai hak untuk mengetahui perkara berkaitan pengurusan institusi berkenaan.

“Saya akan teliti dengan Ketua Setiausaha Negara sama ada proses ini harus dirujuk ke Jemaah Menteri terlebih dahulu.

“Kalau tidak perlu, saya akan terbitkan hari ini. Kalau perlu, saya tunggu Rabu (depan selepas mesyuarat Kabinet) kerana rakyat harus tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Humane Economy Global Discourse (HEGD) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dan Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi (FEM), Prof Datuk Dr Saadiah Mohamad.

Sebelum ini, Zulkifli ketika menjawab soalan di Dewan Negara memaklumkan penjualan aset TH yang kurang berdaya saing dan bermasalah kepada syarikat tujuan khas milik penuh kerajaan, Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), adalah keputusan kolektif Jemaah Menteri pada 2018.

Beliau berkata, Ketua Audit Negara dan Bank Negara Malaysia mendedahkan masalah kewangan serius TH apabila jurang defisit antara aset dengan liabiliti institusi itu mencecah RM10.9 bilion pada tahun berkenaan.

Katanya, keputusan menyelamatkan TH terbukti berhasil apabila deposit institusi itu meningkat daripada kira-kira RM69.4 bilion pada 2019 kepada lebih RM95.1 bilion pada pertengahan tahun ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, TH kini masih dalam proses pemulihan dengan pasukan diketuai Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, sedang melaksanakan segala syor dan teguran RCI.

“Kita letak Tan Sri Rashid dan pasukan baharu untuk membersihkan (TH) berdasarkan pandangan, teguran laporan suruhanjaya dan kalau kita lakukan (dedahkan laporan) terlalu awal mungkin boleh menimbulkan keresahan daripada pencarum dan penyimpan.

“Sekarang saya rasa TH sudah bertambah baik dan saya tidak ada keberatan sama sekali untuk menerbitkan atau menyebarkan, sebab laporan ini ada hak rakyat untuk mengetahui,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan sebelum ini tidak mahu mengambil tindakan terburu-buru dalam mendedahkan laporan berkenaan kerana mahu memberi tumpuan kepada usaha pemulihan TH terlebih dahulu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button