PRN Negeri Sembilan: Kerajaan Perpaduan beri cabaran baharu kepada penerangan politik – Mohamad Sabu
SEREMBAN – Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu mengakui situasi politik semasa yang menyaksikan parti-parti berada dalam Kerajaan Perpaduan mewujudkan cabaran tersendiri dalam usaha memberi penerangan kepada rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
Menurut beliau, perubahan landskap politik berbanding sebelum ini menyebabkan segelintir pengundi masih keliru dengan kerjasama yang terjalin antara parti-parti dalam kerajaan.
“UMNO dan Barisan Nasional (BN) juga berada dalam Kerajaan Perpaduan. Jadi bukan mudah untuk memberi penerangan dalam keadaan terdapat kekeliruan dalam kalangan pengundi, terutama di kampung-kampung.
“Selama ini kita berlawan dengan parti lawan, tetapi sekarang kita berada dalam kerajaan bersama mereka. Pada masa sama, ada parti yang dahulu bersama kita kini menjadi lawan. Keadaan ini menyebabkan kekeliruan kepada sesetengah pihak,” katanya ketika kepada Malaysia Tribune selepas Ceramah Perdana Kekalkan Harapan di DUN Paroi, di sini, malam tadi.
Bagaimanapun, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, beliau yakin pengundi di kawasan bandar dan separa bandar lebih mudah memahami realiti politik semasa serta rasional pembentukan Kerajaan Perpaduan.
“Kita yakin rakyat di kawasan yang agak bandar seperti Paroi, Mambau dan sekitar Seremban lebih mudah memahami situasi politik hari ini.
“Justeru, penerangan yang berterusan perlu dilakukan supaya rakyat memahami mengapa kerjasama ini diwujudkan demi kestabilan politik dan pembangunan negara,” katanya lagi.
Dalam nada berseloroh ketika mengulas hubungan politik antara parti-parti yang sering berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beliau menyifatkan senario tersebut sebagai perkara biasa dalam dunia politik.
“Dalam politik, ada yang berkahwin dan ada yang berpisah. Itu lumrah yang berlaku. Apa yang penting ialah kita terus fokus kepada kepentingan rakyat dan masa depan negara,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















