PRN Negeri Sembilan: Anwar rayu pengundi pilih PH demi kestabilan negeri
SEREMBAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merayu rakyat Negeri Sembilan agar terus memberi mandat kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bagi memastikan kestabilan politik dan pentadbiran negeri yang selari dengan Kerajaan Persekutuan.
Pengerusi PH itu berkata, pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun telah menunjukkan prestasi baik sepanjang menerajui negeri berkenaan dan wajar diteruskan demi kepentingan rakyat.
Menurutnya, kestabilan politik penting bagi memastikan agenda pembangunan serta kebajikan rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Saya nak mohon kerjasama kawan-kawan supaya biarlah politik kita stabil, negeri kuat, negeri satu hala, satu tujuan. Elak daripada apa-apa penyelewengan dan jaga kepentingan rakyat.
“Buat pilihan yang baik dan bawa mesej yang Harapan buat supaya dapat selari dengan Kerajaan Persekutuan. Kita buat yang sebaiknya untuk rakyat kita,” katanya ketika berucap pada Program Santai Petang Bersama Warga Ampangan sempena kempen PRN Negeri Sembilan Ke-16 di Medan Selera Ampangan di sini hari ini.
Turut hadir calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Datuk Muhammad Nazri Kassim.
Ini merupakan kempen pertama yang dihadiri Anwar sejak tempoh berkempen PRN Negeri Sembilan bermula Sabtu lalu.
Anwar berkata, kerajaan negeri sentiasa menitikberatkan tadbir urus yang baik dalam pelaksanaan projek pembangunan selain memastikan manfaatnya dapat dinikmati rakyat.
Beliau mengambil contoh projek mendalamkan sungai di sekitar Ampangan yang dilaksanakan menerusi pendekatan timbal balik apabila hasil jualan pasir digunakan semula untuk membiayai projek berkenaan.
“Jika kontrak-kontrak dulu, yang korek pasir dapat duit, dia ambil, dia jual pasir tetapi kerajaan sekarang, suruh dia korek pasir, dia bayar balik kepada kerajaan.
“Ini beza dia,” katanya lagi.
Anwar turut mengingatkan rakyat supaya tidak memandang ringan dalam memilih wakil rakyat yang akan mewakili mereka di Dewan Undangan Negeri.
“Bila kita pilih wakil rakyat dan parti, ada yang janji nak jaga Melayu, Cina, India tetapi akhirnya jaga diri sendiri.
“Sebab itu saya minta kawan-kawan ambil keputusan yang baik. Jangan pandang ringan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








