Kes jenayah komersial di Kelantan melonjak lebih 100 peratus, kerugian cecah RM23.6 juta
KOTA BHARU – Polis Kelantan merekodkan peningkatan lebih 100 peratus kes jenayah komersial bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini dengan jumlah kerugian mencecah RM23.6 juta.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, sebanyak 1,480 kes direkodkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding 732 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Menurut beliau, peningkatan jumlah kes itu turut menyaksikan nilai kerugian yang lebih tinggi iaitu daripada RM17.03 juta pada tahun lalu kepada RM23.6 juta tahun ini.
“Peningkatan ini didorong oleh trend penipuan dalam talian yang semakin berleluasa, khususnya membabitkan sindiket phone scam, penipuan e-dagang, pelaburan dalam talian serta tawaran kerja sambilan.
“Ini merupakan perkembangan yang amat membimbangkan dan memerlukan tindakan penguatkuasaan yang berterusan, selain usaha memperkasakan pendidikan serta kesedaran masyarakat supaya tidak mudah menjadi mangsa penipuan,” katanya memetik laporan Metro Online.
Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berkata, Polis Kelantan akan mempergiatkan kempen kesedaran menerusi pelbagai platform media sosial bagi memastikan maklumat berkaitan modus operandi sindiket penipuan dapat disampaikan kepada orang ramai dengan lebih meluas.
“Ketika ini pelbagai bentuk penipuan berlaku. Hendak mencari pekerjaan pun boleh menjadi mangsa penipuan, malah jumlah kerugian yang ditanggung setiap mangsa juga sangat tinggi.
“Perkara ini perlu diberi perhatian serius dan paling penting kita mahu masyarakat lebih peka serta tidak mudah terpedaya dengan pelbagai helah sindiket.
“Justeru, kita akan terus memanfaatkan media sosial sebagai medium utama untuk meningkatkan kesedaran awam. Peningkatan kes bukan hanya berlaku tahun ini, malah trend kenaikan lebih 100 peratus turut direkodkan pada tahun lalu,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa membuat semakan terlebih dahulu terhadap sebarang tawaran pekerjaan, pelaburan atau urusan pembelian dalam talian, selain mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa sekiranya meragui sesuatu tawaran bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















