JENAYAH & MAHKAMAH

Polis jelas status Yuyu, masih hadapi perbicaraan kes dadah

KOTA BHARU – Polis menegaskan pemilik salun dan kedai makan, Nur Ayu Fatihah Zaudi, 35, atau dikenali sebagai Yuyu masih berdepan perbicaraan kes dadah dan bukan dibebaskan sepenuhnya seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, wanita itu hanya dilepaskan dengan jaminan RM10,000 selepas pertuduhan terhadapnya diturunkan daripada Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kepada Seksyen 39A(1) akta sama.

Menurut beliau, perubahan pertuduhan dibuat berdasarkan laporan kimia serta berat dadah yang dirampas bersama suspek.

“Kes tersebut masih dalam proses perbicaraan. Pendakwaan terhadap wanita itu dan seorang lagi suspek diturunkan kepada Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membolehkan mereka diikat jamin.

“Nur Ayu Fatihah dilepaskan dengan jaminan sebanyak RM10,000 pada minggu lalu. Ikat jamin yang dibayar itu belum lagi menentukan sama ada dia bebas sepenuhnya daripada pertuduhan kes dadah,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Mohd Yusoff berkata, setakat ini wanita itu bersama seorang lagi suspek didakwa mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala dua lagi suspek termasuk suaminya masih kekal dituduh di bawah Seksyen 39B akta sama.

Menurutnya, selain laporan kimia, lokasi dan berat dadah yang dirampas turut menjadi antara faktor pertuduhan terhadap Nur Ayu Fatihah diturunkan.

“Justeru, saya berharap semua pihak termasuk netizen tidak keliru dengan video-video berkaitan Nur Ayu Fatihah yang dimuat naik di media sosial.

“Dia tidak dilepaskan daripada pertuduhan itu sebaliknya hanya dibebaskan dengan jaminan selepas seksyen bagi pendakwaan itu diturunkan,” katanya.

Terdahulu, satu akaun TikTok menggunakan nama Miss Yuyu memuat naik enam video baharu memaparkan Nur Ayu Fatihah sehingga mencetuskan tanda tanya netizen kerana dia sebelum ini berdepan pertuduhan kes dadah.

Sebelum ini, lima individu termasuk pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Pasir Mas pada 10 Julai tahun lalu atas tiga pertuduhan mengedar lebih 20 kilogram dadah jenis pil kuda di tiga lokasi berasingan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh iaitu Mohd Faizal Ismail, 35, isterinya Nur Ayu Fatihah, Mohamad Farid Ismail, 33, Mohd Khairu Azani Mohd Lawi, 39, dan Mohamad Asmawi Janudin, 25, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button