LUAR NEGARA

Bintang muda ‘Godzilla vs. Kong’, Kaylee Hottle maut nahas jalan raya

LOS ANGELES – Industri perfileman Hollywood dikejutkan dengan pemergian pelakon muda pekak, Kaylee Hottle, 19, yang terkenal menerusi watak Jia dalam francais Godzilla vs. Kong selepas terlibat kemalangan jalan raya di Maryland, Amerika Syarikat pada awal pagi Selasa (waktu tempatan).

Berita duka itu disahkan bapanya, Joshua Hottle menerusi satu rakaman video dalam Bahasa Isyarat Amerika (ASL) yang dimuat naik di Facebook ketika dalam perjalanan dari Texas ke Maryland.

“Saya menaiki satu penerbangan yang tidak pernah saya mahu naiki,” katanya dalam video penuh emosi itu.

Menurut Pejabat Syerif Daerah Frederick, Kaylee merupakan penumpang sebuah kenderaan yang terbabas sebelum merempuh pembetung di Ijamsville, Maryland sekitar pukul 2.50 pagi.

Pelakon itu diterbangkan ke pusat trauma, namun disahkan meninggal dunia sebelum tiba di hospital.

Siasatan awal mendapati kelajuan melampau dipercayai menjadi antara faktor utama nahas tersebut.

Pemandu berusia 19 tahun dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di hospital, manakala seorang lagi penumpang tidak mengalami kecederaan serius.

kaylee
Lakonan Kaylee menerusi filem sekuel Godzilla X Kong: The New Empire.

Kaylee mula mencuri perhatian peminat filem antarabangsa menerusi watak Jia, seorang kanak-kanak yatim piatu pekak yang mempunyai ikatan istimewa dengan Kong dalam filem Godzilla vs. Kong (2021).

Beliau mengulangi watak sama dalam sekuelnya, Godzilla x Kong: The New Empire (2024) sekali gus menjadi antara watak manusia paling menonjol dalam francais MonsterVerse.

Selain muncul dalam dua filem berkenaan, Kaylee turut membintangi satu episod siri televisyen Magnum P.I. dan dilaporkan sedang terbabit dalam projek filem baharu berjudul What Doesn’t Kill Us sebelum tragedi itu berlaku.

Persembahannya sebagai Jia turut melayakkan beliau dicalonkan dalam Anugerah Saturn bagi kategori Pelakon Muda Terbaik.

Kaylee yang berasal daripada keluarga pekak selama beberapa generasi turut dikenali sebagai antara wajah penting dalam memperjuangkan keterangkuman dan representasi komuniti pekak di Hollywood.

Malah, beberapa rakan pelakonnya termasuk Rebecca Hall dan Alexander Skarsgard dilaporkan mempelajari bahasa isyarat bagi memudahkan komunikasi sepanjang penggambaran.

Sementara itu, Texas School for the Deaf, tempat Kaylee menuntut ilmu, menzahirkan rasa dukacita atas pemergian bekas pelajarnya dan memaklumkan perkhidmatan kaunseling disediakan kepada warga sekolah yang terkesan.

Pihak sekolah turut meminta orang ramai menghormati privasi keluarga dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung nahas berkenaan.

Pemergian Kaylee turut mengundang ucapan takziah daripada rakan-rakan artis termasuk Millie Bobby Brown, Marlee Matlin, Troy Kotsur dan Alaqua Cox yang menyifatkannya sebagai seorang pelakon berbakat serta inspirasi kepada komuniti pekak di seluruh dunia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button