Dua beradik serang pemuda nodai adik perempuan ditahan polis
KUALA LUMPUR – Polis menahan dua beradik lelaki yang disyaki menyerang dan mencederakan seorang pemuda dalam satu pergaduhan di Flat Sri Pulau Pinang, Cheras, awal pagi Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 3.33 pagi.
Beliau berkata, mangsa berusia 21 tahun mengalami kecederaan parah pada bahagian hidung, mata dan kepala sebelum dikejarkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk menerima rawatan.
“Hasil risikan dan maklumat yang diterima, sepasukan anggota Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras berjaya menahan dua lelaki berusia 21 dan 22 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera parah tanpa menggunakan senjata.
Katanya, kedua-dua suspek telah direman bagi membantu siasatan, manakala kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
Sementara itu, menurut sumber, kejadian dipercayai berpunca daripada kemarahan dua beradik terbabit selepas mendakwa mangsa beberapa kali mengadakan hubungan seks dengan adik kandung mereka yang masih bawah umur sejak Mac lalu.
Difahamkan, remaja perempuan berkenaan turut membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.
Mengikut peruntukan undang-undang di Malaysia, sebarang hubungan seksual dengan individu berusia bawah 18 tahun boleh disiasat sebagai kes rogol statutori, tanpa mengambil kira soal persetujuan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















