IRC 2026: MCMC gesa kerjasama global perkukuh keselamatan digital, lindungi kanak-kanak
KUALA LUMPUR – Kerjasama antarabangsa dalam kalangan pengawal selia, pembuat dasar dan syarikat teknologi perlu diperkukuhkan bagi membina ekosistem digital yang lebih selamat, berdaya tahan dan dipercayai, terutama dalam usaha melindungi kanak-kanak daripada ancaman jenayah siber serta penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI).
Ahli Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Derek John Fernandez berkata, ancaman digital kini berkembang lebih pantas daripada keupayaan sesebuah negara untuk menanganinya secara bersendirian, sekali gus menjadikan kerjasama rentas sempadan semakin penting.
Menurutnya, kebimbangan yang dibincangkan dalam kalangan pengawal selia antarabangsa sejak 2023 kini terbukti menjadi realiti apabila penggunaan media sosial, platform over-the-top (OTT) dan AI membuka ruang kepada pelbagai ancaman baharu.
“Semua perkara yang kita bincangkan mengenai keselamatan dalam talian akhirnya benar-benar berlaku.
“Sebab itu dialog antarabangsa amat penting untuk kita berkongsi pengalaman dan mencari penyelesaian bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Kawal Selia Antarabangsa bertemakan Shaping the Next Digital Era: Regulation, Resilience and Trust di Hotel Shangri-La, di sini hari ini.
Derek berkata, walaupun setiap negara mempunyai pendekatan berbeza, perlindungan terhadap kanak-kanak perlu menjadi keutamaan dalam setiap dasar digital yang digubal.
Katanya, konsep keselamatan kanak-kanak kini perlu dilihat dalam dimensi baharu kerana mereka mungkin berada dalam keadaan selamat di rumah, namun tetap terdedah kepada ancaman serius di alam maya tanpa pengetahuan ibu bapa atau guru.
“Dunia digital tidak mengenal sempadan dan beroperasi sepanjang masa.
“Ibu bapa hari ini bukan sahaja perlu memastikan keselamatan anak-anak di dunia fizikal, malah turut bertanggungjawab melindungi mereka di ruang digital,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa telefon pintar bukan lagi sekadar alat komunikasi, sebaliknya menjadi medium pengumpulan data yang boleh dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.
Katanya, data peribadi kini menjadi sasaran utama penjenayah siber untuk melakukan penipuan, mencuri identiti, mempengaruhi tingkah laku pengguna dan mengeksploitasi golongan rentan.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan, industri teknologi, pengawal selia dan masyarakat antarabangsa terus memperkukuhkan kerjasama dalam membina persekitaran digital yang lebih selamat demi melindungi generasi akan datang.
IRC 2026 yang memasuki tahun ketiga penganjuran dijangka mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab dialog dasar digital, sekali gus menyokong aspirasi negara membangunkan ekosistem digital yang selamat, inklusif, dipercayai dan mampu memacu pertumbuhan ekonomi digital negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















